Banjir Kilat Di Sabah: Noraini Saran Skuad Sayang Turun Padang, Patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Wanita UMNO Malaysia memandang serius banjir kilat yang sedang melanda beberapa kawasan di Kota Kinabalu akibat daripada hujan lebat tanpa henti.

Ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berharap, semua pihak yang terlibat khususnya mangsa banjir agar berhati-hati dan mengutamakan keselamatan diri apatah lagi dikala jumlah positif COVID-19 semakin meningkat.

“Kita jangan sesekali alpa soal keselamatan dalam menghadapi bencana banjir ini. Patuhi segala SOP yang telah ditetapkan dengan baik.

“Banjir kali ini bukan banjir seperti dahulu kerana kita tidak boleh bertindak seperti dulu kerana kekangan pandemik COVID-19,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Justeru ujar Noraini yang juga Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ahli Parlimen Parit Sulong, Skuad Sayang disarankan untuk turun padang bagi membantu mangsa banjir namun harus terus mematuhi segala SOP dengan baik.

Untuk rekod, beberapa kawasan di sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak lewat malam tadi.

Kawasan yang terjejas termasuk di sekitar Taman Telipok Jaya, Taman Telipok Ria, Kampung Lokub, Kampung Lorong Pulau, Manggatal dan Kampung Kaulan serta Kampung Rugading, Tuaran.

Banjir kilat terbabit turut mengakibatkan jalan raya serta beberapa kenderaan tenggelam selain tingkat bawah bangunan kedai turut ditenggelami air. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.