UMNO Minta Bank Bantu Rakyat Terkesan Akibat COVID-19

KUALA LUMPUR, 3 Okt – UMNO meminta kerajaan mempertimbangkan lanjutan moratorium automatik bermula Oktober 2020 sehingga Disember 2020 bagi membantu rakyat yang menghadapi gelombang kedua pandemik Covid-19.

Demikian tegas Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan hari ini berkaitan penularan COVID-19 yang bertambah.

Katanya, UMNO menyarankan kerajaan memberi arahan kepada bank-bank untuk memberhentikan prosiding lelongan dan pengisytiharan muflis sebagaimana biasa apabila ada rakyat yang tidak mampu membayar pinjaman selepas tempoh moratorium tamat kerana tiada kerja, tiada pendapatan dan alasan tulen yang lain.


“Prosiding lelongan dan prosiding lain terhadap peminjam hanya boleh dibuat selepas enam bulan atau satu tahun tempoh moratorium tamat.

“Bank di negara ini perlu prihatin terhadap masalah golongan yang benar-benar terkesan akibat COVID-19 dan mempertimbangkan tindakan mereka berdasarkan kesan penularan wabak yang serius ini,” katanya lagi.

Sebelum ini kerajaan pada Mac lalu mengumumkan pelaksanaan moratorium bagi semua pembayaran semula pinjaman, termasuk gadai janji dan sewa beli oleh individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tempoh enam bulan, bermula 1 April 2020. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.