Resah, Kecewa Mahasiswa Dirasai Namun Langkah Drastik Kerajaan Demi Keselamatan – Rosni

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Sebarang langkah dan apa jua tindakan oleh pihak kerajaan khususnya keputusan Kementerian Pengajian Tinggi berhubung kemasukan mahasiswa ke kampus masing-masing yang menimbulkan polemik adalah untuk kepentingan semua pihak.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar memang benar ramai yang kecewa dengan langkah demikian namun percayalah ianya diambil untuk memastikan keselamatan para mahasiswa dan orang ramai dalam keadaan negara yang bergelut dengan gelombang ketiga COVID-19.

‘’Saya sedar ramai mahasiswa dan ibu bapa yang merasa marah dan kecewa dengan keputusan saat akhir KPT untuk menangguhkan sesi kemasukan ke kampus mulai Oktober 2020.

‘’Namun, dalam keadaan negara sedang bergelut dengan wabak COVID-19 malahan dengan gelombang ketiga ini memaksa sesuatu keputusan berdasarkan keperluan semasa dibuat oleh sesebuah kementerian yang penting seperti KPT yang melibatkan keutamaan kesihatan dan keselamatan pelajar sekaligus melibatkan ibu bapa.

‘’Percayalah… meskipun ia adalah sebuah keputusan yang berat, namun dengan meletakkan keutamaan keselamatan mahasiswa, maka langkah-langkah drastik perlu diambil,’’ katanya menerusi catatan di facebook, di sini, hari ini.

Rosni yang juga Setiausaha Wanita UMNO seterusnnya menyeru agar semua mahasiswa serta rakyat terus menyokong segala usaha yang sedang dilakukan oleh pihak KPT dalam membendung gejala pandemik agar dapat diatasi bersama.

‘’Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, saya ingin menekan semula agar kita semua seharusnya bersiap sedia mental dan fizikal dalam menongkah segala halangan untuk mendepani cabaran pandemik COVID-19 yang mencabar ini,’’ ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.