Pendaftaran IPT Tangguh Serta Merta Ekoran Peningkatan COVID-19 Luar Jangka – Noraini

KUALA LUMPUR, 3 Okt. – Sejajar dengan dasar kerajaan memberi autonomi kepada pengurusan IPT, Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan pendaftaran pelajar baharu dan lama di semua IPT ditangguhkan serta merta dan cadangan dibuat susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 sejak beberapa hari lalu, kata menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Dilaporkan, semalam, Malaysia mencatatkan 287 kes baharu COVID-19, iaitu jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan sejak permulaan pandemik itu di negara ini.

Jelas Noraini, peningkatan kes berkenaan adalah di luar jangka dan kementerian telah berbincang terlebih dahulu dengan semua pihak pengurusan IPT termasuklah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai agensi utama dalam pengurusan hal ehwal penularan pandemik.

“Saya mengambil maklum rintihan dan keluhan pelajar serta ahli keluarga mereka susulan keputusan pihak IPT menangguhkan pendaftaran fizikal. Saya berharap pihak IPT dapat bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal yang berbangkit berhubung penangguhan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar beliau, kepada pelajar yang sudah tiba, boleh terus kekal di kampus dan nantikan arahan seterusnya oleh pihak Universiti.

“Kepada pelajar yang masih lagi di kediaman atau kampung halaman masing-masing, saya mohon untuk tangguhkan dulu seketika pergerakan untuk pulang ke Universiti.

“Akhir sekali, saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berharap kita dapat bersama-sama membendung penularan wabak COVID-19 ini,” katanya lagi yang juga Ketua Wanita UMNO merangkap Ahli Parlimen Parit Sulong. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.