Kemasukan Ke IPT: Bukan Mudah Buat Keputusan, Usaha Terbaik Kekang COVID-19 – Norshida

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Ramai yang mengecam, mengkritik dan marah terhadap Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad berhubung kemasukan mahasiswa ke kampus namun percayalah bukan mudah untuk membuat keputusan serta mencari kaedah terbaik untuk pelajar, demikian menurut Ketua Penerangan Wanita UMNO, Norshida Ibrahim.

Jelas Norshida sudah tentu dan sudah pastilah pihak kementerian sendiri telah menilai segala perkara dan perancangan terbaik demi keselamatan pelajar dan keluarga pelajar serta kumpulan masyarakat lain dalam mendepani wabak COVID-19 hari ini.

‘’Sekiranya pelajar yang mendaftar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara merupakan golongan pelajar yang ada kontak rapat atau simpton dan berkemungkinan positif COVID-19, pasti masyarakat akan marah ketika itu.

‘’Pihak menteri dan KPT amat sedar ibu bapa dan keluarga bertungkus-lumus memenuhi segalanya untuk menghantar anak-anak ke IPT. Begitu banyak perbelanjaan telah dikeluarkan untuk persiapan dan juga pendaftaran. Waima begitu dalam keadaan pandemik ini kita sendiri tidak tahu kesudahannya. Sudah hampir 1 juta orang yang meninggal dunia kerana COVID-19. Pergerakan beramai-ramai dalam IPT amat berisiko,’’ katanya menerusi catatan di facebook.

Tambah Norshida lagi, setiap keputusan yang dilakukan keutamaannya adalah pelajar dan apa pun masyarakat berhak untuk marah tetapi percayalah keputusan yang dibuat adalah yang terbaik untuk keselamatan pelajar.

Jelasnya pihak kerajaan berusaha mengekang gelombang serta penularan dalam kalangan pelajar dan sekiranya ia berlaku pasti ibu bapa akan lebih panik seperti yang berlaku pada bulan April serta Mei lalu.

‘’Mohon semuanya bersabar dengan ujian ini. Doakanlah kesejahteraan serta kesihatan serta keselamatan kita semua terlindung dari wabak ini. Pentadbiran  negara dari setiap kementerian berusaha sebaik mungkin untuk rakyat seluruh negara. Insya-Allah  moga kita semua dijauhkan,’’ tambahnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.