Bila Pula Saya Main Golf Di Desaru? – Adham

KUALA LUMPUR, 3 Okt: Dalam kemelut penularan Covid-19 semakin menular, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dikatakan seronok bermain golf di Johor semalam.

Ia dikatakan disebarkan dalam media sosial apabila seorang pengguna Twitter, @adammukhrizmy memaparkan kain pemidang yang menunjukkan program di Lotus Desaru Beach Resort dan ciapan itu tular.

Dakwaan itu dinafikan Adham dan menganggap penularan itu sebagai fitnah bertujuan memburukkan imejnya seolah-olah beliau lepas tangan dalam keadaan negara ‘berperang’ dengan penularan pandemik.

“Semalam, saya mengendalikan tiga mesyuarat utama di Putrajaya dari pagi sampai malam dan bila saya main golf di Desaru?” soalnya ketika dihubungi.

Lagi pun beliau mengakui dirinya bukan kaki golf.

Menurut Adham, pagi semalam beliau mengendalikan taklimat berkenaan Covid-19 dan selepas itu menghadiri mesyuarat bahagian latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melatih para petugas dan juga latihan kepakaran KKM.

Mental memandangkan semakin ramai mereka yang terkesan daripada sudut mental akibat penularan pandemik Covid-19.

Malah beliau turut menghantar gambarnya mengadakan mesyuarat di Putrajaya semalam sebagai bukti.

Bagaimanapun Adham tidak menafikan terlibat dalam satu program di Lotus Desaru Beach Resort pada hari esok.

“Esok ya, saya ke Desaru tetapi semalam tidak. Esok saya dijadualkan menyertai acara melibatkan program Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku atau COMBI. COMBI ini strategi kita menangani masalah denggi,” ujarnya lagi.

Pada program itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil komuniti COMBI daerah-daerah.

Sementara itu, ditanya mengenai mesyuarat khas berkaitan Covid-19 bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini ada kaitan dengan kemungkinan berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula, Adham berkata tiada keputusan melaksanakannya.

“Tiada PKP. Kita sedar bilangan kes namun ia masih terkawal namun usaha pematuhan SOP perlu diteruskan, jika perlu kita buat Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) di lokaliti tertentu,” katanya.- MalaysiaGazette

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.