Wanita UMNO Tolak Unsur Sabotaj… Kesetiaan, Keikhlasan Pada Perjuangan Parti – Norliza

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim menegaskan bahawa kesetiaan dan keikhlasan dalam perjuangan adalah prinsip utama yang didokong Wanita UMNO Malaysia.

Justeru beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia menolak sekeras-kerasnya cubaan pihak tertentu yang berusaha memecah-belahkan perpaduan dalam kalangan UMNO, apatah lagi pihak tertentu ini pasti kecewa di atas kegagalan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

“Tidak sesekali perjuangan Wanita UMNO mengkhianati parti, ahli parti dan rakyat waima pada waktu susah dan senang dalam perjuangan selama ini.

“Saya menegaskan permainan kotor musuh politik masih berleluasa apatah lagi menyasarkan kepada Ketua Wanita UMNO Bahagian Kalabakan, Puan Chaya Sulaiman yang kononnya beliau akan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam tempoh terdekat seperti ditularkan di media sosial,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam hal ini beliau mengingatkan bahawa Wanita UMNO sentiasa redha di atas setiap perjuangan yang dilalui apatah lagi UMNO sudah melalui fasa kekalahan yang lebih teruk sebelum ini.

“Keputusan di DUN Kukusan yang memperlihatkan kekalahan tipis 10 undi calon tunggal Wanita UMNO, kepada calon Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak sama sekali mematahkan semangat perjuangan kami. Dalam politik, menang atau kalah adalah adat dan rencam permainan strategik.

“Justeru itu, jauh sekali wujudnya unsur sabotaj dalam kalangan jentera BN. Kita berjuang dengan niat yang ikhlas dan hanya orang yang kecewa dan iri hati sahaja menimbulkan polemik sedemikian kerana mereka telah menyedari bahawa kekuatan dan kegerunan yang ditunjukkan Wanita UMNO dan parti UMNO semakin terkesan dan rakyat sudah mula beralih dan menyakini semula parti keramat ini,” katanya yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.