Utamakan Keselamatan Rakyat, Tangguhkan Hasrat Jadi PM – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa bakal Perdana Menteri (PM) dari Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menangguhkan hasratnya menjadi PM.

Katanya, pertukaran PM ini secara tidak langsung boleh membawa pembubaran Parlimen, namun keadaan sekarang tidak mengizinkan kerana keselamatan rakyat lebih penting yang kini sedang berhadapan COVID-19.

“Diharapkan bakal PM dan PH dapat tangguhkan dahulu hasrat untuk menggerakkan agenda menukar kerajaan dan PM yang boleh membawa kepada pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Utamakan dahulu keselamatan rakyat yang sedang berhadapan risiko gelombang ke tiga pandemik COVID-19. Ambil iktibar daripada apa yang berlaku di Sabah.

“Akibat perebutan jawatan Ketua Menteri (KM), akhirnya membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Setuju dengan pandangan ini?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook yang mendapat lebih 5 juta tanda suka, hari ini.

Untuk rekod, baru-baru ini pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim mendakwa memperoleh majoriti yang kukuh di Parlimen untuk membentuk kerajaan baru tetapi beliau enggan menyatakan jumlah sokongan yang diterimanya.

Sehingga kini tiada bukti yang jitu menyatakan sokongan ahli Parlimen yang dinyatakan terhadap Anwar Ibrahim. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.