Rahman Kemuka Lima Cadangan Kepada Kerajaan Sabah, Beri Impak Besar Kepada Rakyat

KOTA KINABALU, 2 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mencadangkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Sabah agar meningkatkan keyakinan pelabur untuk melabur di negeri itu.

Ujar Ketua UMNO Bahagian Tuaran itu, pelabur hanya mahu melabur jika mereka merasakan pelaburan mereka selamat, pulangan pelaburan mencukupi dan peraturan serta undang-undang menjaga kepentingan pelaburan mereka.

“Kerajaan mesti dilihat sebagai mesra pelabur sepanjang masa,” katanya dalam satu kenyataan yang mengemukakan lima cadangan kepada kerajaan baharu negeri Sabah itu.

Selain menarik pelabur, Rahman juga mengesyorkan agar diubahsuai peraturan dan undang-undang sedia ada yang tidak menguntungkan, menyusahkan rakyat atau yang menyekat kreativiti mereka.

“Reform undang-undang atau ordinan negeri yang sudah lapuk. Antara lain mengenai tanah berstatus ‘Native Title’ (NT) supaya NT boleh membantu bumiputera meningkatkan nilai harta mereka.

“Reform fungsi dan proses tindakan kerajaan tempatan supaya lebih telus, berintegriti dan berdaya saing. Kerajaan tempatan adalah kerajaan yang paling dekat dengan rakyat,” tambahnya lagi.

Manakala cadangan terakhir ujarnya adalah mengupayakan dan meningkatkan usaha anti rasuah dan anti salah guna kuasa dalam kerajaan supaya ketirisan dana awam dapat dibendung.

“Semua lima cadangan awal ini tidak melibatkan kewangan kerajaan negeri tetapi impaknya besar kepada rakyat Sabah,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.