Pastikan Bebas COVID-19: Petugas UMNO Kelantan Inisiatif Kuarantin 14 Hari, Dua Ujian – Jazlan

KUALA LUMPUR, 2 Okt – UMNO Kelantan mengambil inisiatif dengan mengambil tindakan kuarantin selama 14 hari terhadap para petugas yang membantu kempen parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Pada masa yang sama menurut Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub petugas yang terlibat juga walaupun negatif pada ujian pertama, mereka akan turut mengambil ujian kedua sebelum tempoh kuarantin berakhir.

‘’Untuk makluman semua, berhubung dengan kesihatan petugas-petugas UMNO yang baharu pulang daripada Sabah bermula 27 September 2020. Sukacita saya memaklumkan bahawa, Alhamdulillah kesemua petugas yang terlibat telah disahkan negatif pada ujian yang pertama, dan Insya-Allah bermula esok, saringan kedua akan dilakukan sekali lagi oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

‘’Sekembalinya mereka daripada Sabah, mereka telah dikuarantinkan mengikut tempat yang sesuai termasuklah ditempatkan di sebuah hotel di Kota Bharu, walaupun kami terpaksa menanggung kos yang agak tinggi,’’ katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Ahamd Jazlan seterusnya menambah pihaknya juga akan mempastikan bahawa sekiranya saringan kedua juga didapati negatif, mereka akan terus menjalani ‘self-quarantine’ mengikut SOP yang ditetapkan oleh KKM sehingga tamat tempoh 14 hari.

‘’Sepanjang tempoh mereka pulang daripada Sabah sehingga ke hari ini, ahli keluarga mereka langsung tidak bertemu dengan mereka demi menjaga kesihatan dan keselamatan sejak daripada hari pertama mereka pulang ke negeri Kelantan.

‘’Sebenarnya ujian kali kedua dilakukan atas inisiatif pihak kami sendiri, walaupun tidak diwajibkan oleh pihak KKM. Selepas keputusan negatif pada saringan pertama tempoh hari, kita masih mengambil keputusan untuk melakukan ujian bagi kali yang kedua bagi mempastikan pasukan kami benar-benar bebas COVID-19,’’ ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.