Kita Sudah Lupa Siapa Musuh Sebenar – Armand

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifa berkata sepanjang 22 bulan UMNO menjadi pembangkang, UMNO konsisten melawan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga ia runtuh sendiri.

Katanya, bukan saja PH runtuh malah UMNO juga berjaya membina kekuatan dan permuafakatan dengan PAS yang dahulunya selalu bertelagah.

“22 bulan kita fokus lawan PH tiap hari secara konsisten, 22 bulan agenda utama kita untuk pastikan Dap bukan dalam kerajaan, 22 bulan kita bina kekuatan dan permuafakatan sehingga berjaya runtuhkan PH.

“Hari ini belum sampai beberapa bulan kita sudah mula lupa siapa musuh nyata kita. Kita sudah lupa permuafakatan kita, lupa air mata kita yang mengalir bila bangsa dan agama kita dihina serta dicerca.

“Saya lihat kita kembali bermain di ‘galeri dan naratif’ ciptaan PH seperti mana sebelum PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14). Kini kita lebih suka kembali menyerang sesama kita… lebih suka menjatuhkan sesama kita, lebih suka berbalah sesama kita,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Armand seterusnya menambah jika ini berterusan tanpa disedari, yakinlah sekali lagi parti akan dihukum oleh rakyat.

“Sebagai pemimpin harus lihat semua sudut terutama kebajikan dan keselamatan rakyat secara keseluruhan, tetapi ramai politikus serta penyokong meminta bubar Parlimen dalam masa terdekat, tetapi adakah ini masa yang sesuai?” soalnya.

Lebih-lebih lagi pandemik COVID-19 makin meningkat, katanya lagi yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang.

“Ini bukan masa sesuai untuk bubar Parlimen atau sebagainya, rata-rata majoriti rakyat Malaysia mengharapkan sebuah kerajaan yang memikirkan kesejahteraan rakyat terutama dalam kita menangani COVID-19,” tambahnya.

Dalam pada itu, Armand memohon terutama sekali Bank Negara menambahkan lagi lanjutan moratorium kepada peminjam.

“Saya mohon pihak kerajaan terutama Bank Negara serta bank-bank komersil untuk mempertimbangkan lanjutkan moratorium pada pengguna-pengguna.

“Jka ianya tidak dilanjutkan akan ada masalah dalam masa kurang enam bulan akan datang terutama ‘Non Performance Loan’ (NPL) akan meningkat seterusnya akan naik kadar inflasi negara seterusnya akan ramai rakyat terutama golongan B40 malah anak muda akan disenarai hitam,” ujarnya.

Banyak perkara yang harus diutamakan kini seperti ekonomi, kebajikan, pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.