Henti Berpolitik, Peruntukan RM50 Juta Tangani COVID-19 Bukti Prihatin Bela Rakyat Sabah – Jafry

KINABATANGAN, 2 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Jafry Ariffin berkata, peruntukan RM50 juta bagi menangani penularan COVID-19 di Sabah oleh kerajaan baharu negeri itu yang diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah bukti kebajikan rakyat diutamakan.

Justeru jelas beliau, semua pihak khususnya di Sabah harus berhenti seketika berpolitik dan menumpukan terhadap kebajikan rakyat negeri itu.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah pun tamat dan mandat telah diberi, maka kini adalah masa untuk kita buat kerja dan bukannya terus bermain politik. Janganlah rumah sudah siap tapi pahat masih berbunyi. Kita tahu, saban hari kes positif COVID-19 meningkat di negeri ini, jadi kita perlu lakukan sesuatu untuk bantu rakyat.

“Keputusan kerajaan baharu memperuntukkan RM50 juta bagi menangani kes COVID-19 adalah bukti kita mengotakan janji membela nasib rakyat. Daripada jumlah itu, RM10 juta diperuntukkan untuk menyediakan ‘bakul makanan’ kepada penduduk di empat daerah terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran iaitu Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Jafry, bukan hanya kerajaan baharu tetapi semua ADUN yang baharu diberi mandat pada PRN Sabah baru-baru ini harus fokus kepada memberi khidmat dan menunaikan janji yang telah dibuat.

“Sebab itu saya tekankan, kita lupakan sejenak hal politik kerana ada perkara yang lebih penting harus kita tumpukan demi rakyat dan ekonomi negeri Sabah.

“Jangan kita ulangi kesilapan Warisan yang akhirnya menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada kita, tapi saya yakin dan percaya, GRS akan memberikan yang terbaik untuk rakyat Sabah,” tegas beliau.

Keputusan PRN Sabah pada 26 September lalu menyaksikan GRS mendapat mandat selepas memperoleh 38 daripada 73 kerusi DUN sekaligus menamatkan pentadbiran Warisan Plus di negeri di bawah bayu itu.

38 kerusi itu diperoleh hasil kemenangan parti gabungan tersebut membabitkan Perikatan Nasional di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Barisan Nasional (14 kerusi) dan PBS (tujuh kerusi).

Gabungan Warisan Plus yang membabitkan Warisan, DAP, Amanah, UPKO dan PKR menang di 32 kerusi DUN.

Sementara calon bebas menang di 3 kerusi DUN. Sebanyak 73 DUN dipertandingkan di PRN Sabah. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.