Ahli Politik Perlu Utamakan Kesihatan Rakyat Berbanding Kepentingan Lain – Shahril

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menyeru agar ahli politik untuk meletakkan kepentingan kesihatan rakyat negara ini sebagai perkara utama berbanding kepentingan politik terutamanya pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan menjelang Pilihan Raya Umum nanti.

Katanya, rakyat tidak menyenangi situasi politik semasa ketika ini lebih-lebih lagi selepas peningkatan kes COVID-19 secara drastik.

“Rakyat tidak suka kita sekarang. Sekarang rakyat tidak melihat kita (ahli politik) sebagai ejen atau entiti yang membantu dalam situasi (penularan COVID-19) ketika ini.

“Malah, dalam kalangan sentimen rakyat, mereka menganggap ahli-ahli politik adalah penyebab kepada jangkitan bertambah.

“Untuk mengkaji dengan lebih mendalam tentang punca jangkitan meningkat ketika ini adalah terlalu rumit dan hakikatnya kita perlu sedar bahawa ahli politik sedang dilihat oleh rakyat,” katanya ketika ditemu bual menerusi talian oleh sebuah media elektronik, semalam.

Shahril turut menyatakan, terdapat kemungkinan rakyat menyalahkan ahli politik ketika ini yang menyebabkan jangkitan bertambah.

Justeru, beliau secara peribadi berpendapat tidak perlu mengadakan PRU dalam masa terdekat terutama ketika negara masih memerangi COVID-19 kerana ia bakal memberi kesan jangka panjang kepada rakyat.

Shahril sedang dalam rawatan COVID-19 selepas disahkan positif setelah pulang dari Sabah ekoran menyertai Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional sempena PRN baru-baru ini. – Astro Awani

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.