Syabas Bung Moktar Tak Tunggu Lama, Pan Borneo Dipercepat Demi Rakyat – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan syabas kepada Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang tidak menunggu lama untuk bekerja dan berjuang demi rakyat.

Semalam, Bung Moktar dilapor akan memperincikan projek Pan Borneo di Sabah secara spesifik agar dapat dilaksanakan dengan pantas sebagaimana projek di Sarawak.

Kata Dr Asyraf, inilah antara intipati utama kempen Pemuda Barisan Nasional (BN) sepanjang menjelajah ke seluruh pelusuk Sabah.

“Projek Pan Borneo yang terhenti sejak Pakatan Harapan (PH)-Warisan memerintah separutnya menjadi suatu ‘Game Changer’ atau nukleus transformasi utama buat rakyat Sabah.

“Projek Pan Borneo bukan sekadar lebuhraya yang menghubungkan setiap daerah yang jauh di pedalaman semata-mata, tetapi kesan gandaan ekonomi ‘multiplier economic effect’ ke atas seluruh Sabah bakal menyaksikan rakyat Sabah tidak lagi ketinggalan dari segi infrastruktur asas tetapi mampu merubah landskap dan taraf sosio-ekonomi mereka secara radikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bukan itu sahajajelasnya, sebagaimana yang pernah dihasratkan Kerajaan BN di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum jatuh pada 2018, lebih 250,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak muda bakal terhidang sekaligus mengurangkan fenomena penghijrahan anak muda Sabah ke Semenanjung untuk mencari kerja hingga terpaksa meninggalkan keluarga bahkan natijah masalah sosial yang lain dapat dihindari.

“Syabas Datuk Seri Bung Mokhtar yang tidak menunggu lama jauh sekali berbulan madu dengan portfolio baharu untuk terus bekerja dan berjuang demi rakyat. Itulah asas perjuangan UMNO-BN yang mesti terus disemarakkan.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.