Mesyuarat Bahagian Medan Terbaik Nilai Semula Kesiapsiagaan Hadapi PRU-15

LIPIS, 1 Okt – Ketua Pemuda UMNO Negeri Pahang Mohd Farid Mohd Nor berkata, mesyuarat UMNO bahagian yang sedang berlangsung kini adalah peluang terbaik untuk menilai semula kesiapsiagaan untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ujar beliau, setiap bahagian perlu mengelakkan daripada terus beretorik dan berpolitik sesama sendiri kerana fokus utama adalah sejauh mana jentera UMNO bahagian telah dipersiapkan dan adakah semua masalah dalaman telah diselesaikan.

“Kita perlu sedar bahawa sekarang ini bukan masa untuk bermain-main atau memandang remeh ataupun berpolitik sesama sendiri. PRU-15 sudah tidak lama, adakah kita telah benar-benar bersedia mendekati para pengundi?

“Atau adakah kita sebenarnya hanya mendekati ‘orang kita’? Sebab itu, berhentilah beretorik. Jadikan apa yang berlaku di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai kayu pengukur. Walaupun senario politik Semenanjung dan Sabah tidak sama tapi itu bukan alasan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Farid, satu kajian terperinci juga perlu dilakukan bagi mengenalpasti kekalahan Barisan Nasional (BN) di banyak kerusi di PRN Sabah.

“Adalah penting untuk BN menghasilkan formula baru terutamanya berkaitan pengurusan pengundi penyokong BN khusus untuk Negeri Sabah. Ya, betul kita berjaya menumbangkan Warisan, menukar kerajaan negeri tapi kita hanya memenangi 14 kerusi daripada 42 yang kita tandingi.

“Inilah hakikat yang perlu kita terima dan akui. Kita tidak boleh mendabik dada. Jadi, fikirkanlah.. adakah kita benar-benar bersedia? Adakah pengundi atas pagar sudah boeh menerima semula UMNO dan Barisan Nasional?

“Sebab itu saya tegaskan, jadikan mesyuarat bahagian ini satu landasan terbaik untuk kita benar-benar istiqamah dan mencari solusi agar PRU-15 kita mendapat kejayaan yang jauh lebih baik,” tegas beliau.

Untuk rekod, selaras dengan kenyataan kebenaran bermesyuarat dari Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), Mesyuarat Pengurusan UMNO pada 6 Julai lalu memutuskan beberapa tarikh baharu bagi persidangan UMNO di peringkat Cawangan, Bahagian, Konvensyen UMNO Negeri dan Perhimpunan Agung UMNO.

Dijadualkan, Persidangan UMNO Cawangan bagi semua peringkat bermula pada 15 Julai hingga 31 Ogos ini dan Mesyuarat Perwakilan Bahagian pada 15 September hingga 31 Oktober.

Manakala Konvensyen UMNO Negeri-negeri pada 1 November hingga 23 November diikuti Perhimpunan Agung UMNO pada 25 hingga 28 November.

Tarikh-tarikh tersebut dianjakkan dari tarikh sebelumnya berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu akibat penularan pandemik COVID-19 di negara ini. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.