Hentikan Sandiwara Salahkan Pemimpin Tertentu, Undur Selangkah Bukan Bererti Kalah – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 30 Sept. – “Saya berharap kepada pihak-pihak tertentu yang masih bersandiwara menyalahkan pemimpin tertentu dalam hal dan urusan Sabah, hentikanlah tindakan tersebut.”

Demikian tegas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahukan akan polemik politik tempatan dinoktahkan.

Katanya, semua pihak perlu berlaku adil dan jangan rugikan parti dengan agenda peribadi.

“Kita jernihkan keadaan bukan mengeruhkan lagi kedukaan kita dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru- baru ini. Duka dan pedihnya, UMNO Sabah yang merasainya, ‘kita undur selangkah ke belakang bukan bererti kalah, tetapi kita bersedia untuk melangkah jauh lagi ke hadapan’,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merangkap Ketua UMNO Negeri terbabit dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujarnya, beliau akan melakukan ‘post mortem’ untuk mencari sebab musabab dan punca beberapa kerusi yang ditandingi BN mengalami kekalahan.

“Kami juga akan membuat penambahbaikan demi memastikan BN dapat merampas semula kerusi-kerusi tersebut pada PRN akan datang,” ujarnya.

Sebelum itu beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera BN yang membantu kami di PRN Sabah baru-baru ini.

“Sesungguhnya PRN kali ini amat luar biasa daripada kelazimannya. Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai begitu banyak parti dan calon bebas yang bertanding dengan menggunakan pelbagai logo serta mendapat sokongan daripada pihak-pihak tertentu.

“Saya amat bersyukur, walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan ditambahi pula dengan tentangan daripada pelbagai pihak, BN masih mampu memenangi 14 Kerusi daripada 32 kerusi yang kita bertanding. Alhamdulillah daripada 14 kerusi yang kita menangi, 70 peratus daripadanya muka-muka baru.

“Saya juga memohon maaf kepada Datuk Seri Presiden kerana hasrat dan cita-cita beliau dan rakan-rakan yang berkehendakkan saya atau wakil daripada UMNO Sabah Menjadi Ketua Menteri tidak kesampaian dan jawatan Ketua Menteri memang menjadi harapan UMNO Sabah tetapi kami menyedari dan menginsafi dengan hanya memenangi 14 kerusi sahaja sukar kepada UMNO Sabah untuk menuntut jawatan tersebut.”

Dalam masa yang sama, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Ketua Wanita, Pemuda, Puteri, ahli Majlis Tertinggi UMNO dan negeri-negeri yang turun membantu di PRN Sabah.

“Saya amat terhutang budi kepada seluruh jentera BN dan Allah saja dapat membalas jasa dan budi sekalian,” katanya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.