UMNO/BN Berlapang Dada Demi Kestabilan Politik Sabah, GRS Mesti Tunai Janji – Arif Majid

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak berharap agar pengorbanan UMNO kali ini tidak disia-siakan dan Ketua Menteri Sabah yang baru iaitu Datuk Hajiji Noor perlu memastikan agar semua janji kepada rakyat ditunaikan di samping kebajikan rakyat sentiasa terbela.

Ketuanya, Mohd Arrif Abdul Majid berkata Pengerusi UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin adalah seorang yang berjiwa besar dan pengorbanannya dalam pemilihan Ketua Menteri Sabah kerana walaupun UMNO yang majoriti memenangi kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berbanding komponen lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Timbul rasa kekecewaan apabila setelah mengecapi kemenangan pada PRN kali ini UMNO kembali dipaksa berkorban dalam pemilihan Ketua Menteri walaupun UMNO merupakan parti tunggal yang memenangi lebih banyak kerusi berbanding komponen lain di dalam GRS.

“Walaupun hakikat ini berat untuk diterima dan ditelan, UMNO tetap berlapang dada demi memastikan kestabilan politik di Negeri Sabah. Pengorbanan ini sudah tentu mengecewakan akar umbi UMNO yang melihat UMNO seolah-olah terlalu mudah mengalah selepas isu pemilihan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Namun pada hakikatnya, insan yang pasti lebih kecewa adalah Presiden Parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bertungkus-lumus mengerahkan semua jentera berkempen sehabis baik walaupun banyak cabaran yang dihadapi sepanjang proses kempen,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ariff yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Padang Rengas menjelaskan PRN Sabah kali ini, UMNO dan Barisan Nasional (BN) berlapang dada memberikan laluan kepada PPBM bertanding di kawasan kubu kuat UMNO atas dasar kerjasama demi memastikan kemenangan dalam PRN Sabah kali ini.

Walaupun ia menimbulkan rasa kurang selesa akar umbi UMNO, akan tetapi keputusan ini terpaksa diambil demi masa depan Negeri Sabah dan misi yang lebih besar, katanya.

“Sudah tentu kemenangan ini adalah satu isyarat penting daripada rakyat yang mahukan bumi Sabah ini terus berkembang maju dan kebajikan serta kesejahteraan rakyat menjadi prioriti yang utama.

“Kemelut politik di Sabah akhirnya terjawab dengan kekalahan Parti Warisan kepada Gabungan Rakyat Sabah dalam PRN Sabah pada 26 September 2020. Kemenangan GRS dengan jumlah 38 kerusi ini adalah hasil kerjasama daripada Gabungan Parti antara Barisan Nasional, PPBM, PBS dan STAR.

“Semoga UMNO terus kekal utuh di hati dan jiwa rakyat seluruh negara. Hanya kepada Allah kita berserah,” ujarnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.