Pasca PRN Sabah: Majoriti Yang Di Perintah Minoriti – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata UMNO merupakan sebuah parti yang mempunyai kerusi terbesar dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Katanya, secara praktisnya, parti yang memiliki kerusi terbanyak adalah parti yang dominan dalam membuat keputusan.

“Perlu diingati… bilangan kerusi UMNO ini mewakili sebahagian besar rakyat Malaysia dan menunjukkan suara kolektif, tetapi dalam PN, UMNO tidak menjadi dominan malah dilihat sering tunduk dan terpaksa akur kepada Bersatu.

“Adakah kerana Perdana Menteri daripada parti Bersatu? Jawatan-jawatan kanan di kabinet turut didominasi Bersatu, walhal parti ini adalah minoriti dalam kerajaan PN.

“UMNO menyokong Bersatu hanya untuk menyelamatkan negara daripada krisis politik yang dicipta Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Bersatu juga. Sebab itulah kerajaan PN ini tidak stabil dan sentiasa bergolak,” katanya melalui satu hantaran di Facebook,hari ini.

Justeru, kata Dr Najmil lagi, adakah nasib UMNO akan terjadi seperti Dap dan PKR yang mempunyai kerusi terbanyak dalam gabungan PH lalu kerajaan itu diruntuhkan sendiri oleh Perdana Menteri daripada Bersatu.

“Praktis pemerintahan seperti ini adalah tidak baik untuk negara dan hanya merugikan rakyat Malaysia. Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil,” katanya lagi.

Pemimpin Bersatu yang wujud pada hari ini juga datang dari mandat UMNO dan selepas Pilihan Raya Umum (PRU)-14 mereka melompat dan menyertai Bersatu untuk menyokong kerajaan PH. Sebab itulah kerusi ini perlu diambil balik oleh UMNO pada PRU-15, ujarnya.

“Jadi tidak usahlah hendak mendabik dada kerana UMNO punyai jasanya dalam mengembalikan sokongan rakyat. Isi lemak dapat ke orang, tulang bulu pulang ke kita,” tegasnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.