Bung Moktar, Masidi Bertukar Portfolio Lepas Angkat Sumpah
KOTA KINABALU, 29 Sept. – Beberapa jam selepas mengangkat sumpah jawatan bersama anggota Kabinetnya pagi ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, mengumumkan pertukaran portfolio dua menteri.
Pada sidang media pertamanya sebagai Ketua Menteri, Hajiji mengumumkan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Seri Bung Moktar Radin bertukar portfolio kepada Menteri Kerja Raya manakala Datuk Masidi Manjun sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.
Ketika mengangkat sumpah jawatan di Istana Negeri pagi tadi, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, diumum memegang portfolio Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, manakala Masidi, Menteri Kerja Raya.
Hajiji turut mengumumkan satu lagi portfolio baharu untuk Masidi iaitu Menteri Kewangan 2.
Katanya, beliau memerlukan khidmat Masidi untuk membantunya dalam soal kewangan bagi memulihkan ekonomi Sabah dan menghadapi pandemik COVID-19.
Mengenai sebab pertukaran portfolio dilakukan, Hajiji berkata tiada apa-apa masalah mengenai perkara itu.
“Tiada masalah cuma saya mahu Masidi bantu saya kerana beliau berpengalaman dalam ekonomi dan kewangan. Ia juga dipersetujui oleh semua,” katanya.
Selain pertukaran portfolio, Hajiji turut memaklumkan lima lagi menteri akan dilantik bagi melengkapkan senarai Kabinet negeri dalam masa terdekat.
“Pelantikan menteri lain, ada lima orang lagi akan mengangkat sumpah tidak lama lagi serentak dengan pelantikan pembantu menteri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, sambil memandang ke arah Bung Moktar yang berdiri di sebelahnya, beliau menafikan menghadapi masalah dengan kepemimpinan UMNO seperti didakwa pihak tertentu.
“Tiada masalah, lihat ini Bung Moktar ada sini,” katanya sambil disambut ‘ya’ dan oleh Bung Moktar.
Sidang media itu turut disertai dua lagi Timbalan Ketua Menteri, iaitu Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam. – BHarian