Zahid Hormati Keputusan ADUN GRS, Perlu Segera Tumpu Agenda Bela Rakyat

KUALA LUMPUR, 28 Sept. – Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa jawatan Ketua Menteri Sabah seharusnya diserahkan kepada UMNO sebagai parti individu yang memenangi jumlah kerusi DUN terbesar dalam Gabungan Rakyat Sabah – GRS (UMNO 14, PPBM 11, STAR 6, PBS 7).

Namun beliau menghormati keputusan yang dibuat oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS yang menang dalam memilih ketua menteri.

“Saya dimaklumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, YB Datuk Seri Bung Moktar Radin setelah rundingan dibuat di kalangan ADUN-ADUN GRS yang menang, akhirnya bersepakat untuk mencalonkan Datuk Hajiji Noor, demi memastikan kepentingan rakyat Sabah dapat segera diperjuangkan setelah diabaikan Kerajaan Warisan sebelum ini.

“Saya hormati keputusan tersebut atas dasar semangat autonomi UMNO Sabah yang telah pun dipersetujui bersama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau turut berharap agar kerajaan baharu yang dibentuk ini dapat membela kepentingan rakyat Sabah.

“Semoga kerajaan baharu yang dibentuk ini dapat segera memberi tumpuan kepada pelbagai agenda untuk membela kepentingan rakyat Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Aku Janji GRS,” katanya lagi.

Terdahulu dilaporkan, GRS menamakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri Sabah yang baharu dengan dijadualkan akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Negeri pada 10.30 pagi esok. – UMNO Online

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2020/09/BARISAN-NASIONAL-MALAYSIA-2.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.