Sokong Hajiji Atas Semangat Persaudaraan, Yakin Kerajaan Baru Mampu Bela Rakyat

KOTA KINABALU, 28 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Raden yakin kerajaan baharu yang ditubuhkan hari ini mampu membela dan menjaga kepentingan rakyat.

Menurut beliau keputusan mengenai perlantikan Datuk Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah yang baharu telah diterima dengan semangat persaudaran dan akan memulakan langkah sejurus selesai majlis angkat sumpah.

“Kami telah membuat persetujuan atas dasar persaudaraan, keyakinan bahawa kerajaan baharu yang ditubuhkan hari ini mampu untuk memulihkan semangat rakyat yang selama ini telah hilang disebabkan oleh pemerintahan kerajaan yang tidak prihatin kepada rakyat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu pada sidang media yang sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor dilaporkan menerima sokongan sebulat suara untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu, esok.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Sabah.

Bung seterusnya menambah menjadi tanggungjawab yang besar untuk kerajaan negeri ini dalam menerajui negeri.

“Tetapi dengan kerjasama semua pihak saya yakin selesai sahaja Datuk Hajiji Nor dinobatkan selaku ketua menteri Sabah kita akan memulakan langkah kita untuk memastikan rakyat di bawah mendapat perhatian daripada kerajaan sedia ada dan semua rakyat tidak main politik dan kita memikirkan masalah negeri Sabah ,” ujarnya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, GRS yang membabitkan PN, BN dan PBS berjaya memenangi 38 kerusi berbanding Warisan Plus mendapat 32 kerusi manakala Bebas (3). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.