Anak Muda UMNO Diseru Bersedia Hadapi Dinamika Politik

TASEK GELUGOR, 28 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO menyeru ahli-ahlinya agar mempersiapkan diri untuk menghadapi dinamika politik termasuk membina kemahiran mentafsir situasi semasa, seiring perubahan landskap politik negara.

Ketua Penerangan sayap Mohd Shahar Abdullah berkata ini kerana dinamika politik turut menuntut kesetiaan ahli kepada perjuangan teras parti.

“Dahulu kita tidak bersama Muafakat Nasional, sekarang dengan Muafakat Nasional, Perikatan Nasional, perbezaan inilah yang memerlukan keupayaan anak muda untuk mentafsir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Tasek Gelugor di Kubang Menerong di sini malam tadi.

Tegasnya ahli Pemuda UMNO juga mempunyai peranan untuk membentuk rakan sebaya yang lain memahami landskap politik demi membangunkan satu negara yang maju dan stabil.

Sementara itu, Mohd Shahar yang juga Timbalan Menteri Kewangan II berkata pihak kementerian telah bertemu dengan semua pihak berkepentingan selain mendapatkan maklum balas menerusi dalam talian bagi menggubal Belanjawan 2021.

“Mereka semua hendak suara mereka didengari, itu sebab yang kita dengar hari ini adalah suara-suara yang betul-betul jelas, kita tidak mahu lagi mendengar suara yang begitu kosmetik (hanya beritahu yang indah dan cantik, bukan perkara sebenar rintihan yang berlaku), beritahu perkara sebenar,” katanya.

Belanjawan 2021 dijadualkan dibentang pada 6 Nov depan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.