PRN Sabah: Shafie Tak Mengaku Karam?

KOTA KINABALU, 27 Sept. – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menyaksikan malam tadi menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

Namun demikian, kenyataan Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menganggap Warisan sebagai sebagai satu-satunya parti yang mencatatkan kemenangan paling besar dengan memperoleh 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ibarat masih enggan mengaku kalah.

Dalam hal ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan apakah ‘sifir politik’ yang digunakannya sekarang?

“Jam 1 pagi malam tadi, Shafie masih di kediaman rasmi Ketua Menteri. Patut sudah dikosongkan dan cabut.
“Shafie dakwa Warisan tetap parti terbesar kerana menang 29 kerusi. Tak mengaku kalah lagi. Masih mahu mengaku Ketua Menteri. Ini sifir politik apa kamu gunakan sekarang.

“Kalau itu macam, apakah UMNO sepatutnya kekal memerintah dalam PRU ke 14 kerana ‘single party’ yang dapat kerusi terbanyak?” bidasnya dalam kenyataan hari ini.

Namun demikian jelasnya, UMNO adalah parti yang menghormati demokrasi dan Shafie menjadi ketua menteri pun angkara ADUN UMNO yang melompat.

“Yang berlawan ini ialah ‘gabungan’ parti politik. Shafie macam tidak percaya WARISAN Plus. Patut Dap dan PKR tinggalkan Shafie. Sudahlah Shafie. Perahu kamu sudah karam,” ujarnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PBS memenangi 38 kerusi DUN, manakala Warisan Plus (Warisan, DAP, Amanah, UPKO dan PKR) memperoleh 32 kerusi DUN.

Baki tiga kerusi DUN Sabah dimenangi calon bebas. PRN Sabah menyaksikan 73 kerusi DUN dipertandingkan. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.