Apa Saja Komentar… Fakta Jelas Warisan Plus Kalah, Tiada Majoriti – Shahril

KOTA KINABALU, 27 Sept – Rakyat telah memilih. Demikian tegas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berhubung keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, malam tadi.

Katanya, apa sahaja komentar yang sedang berlangsung iaitu siapa menang, siapa jadi Ketua Menteri, yang jelas dan yang semua boleh setuju sebagai fakta adalah, Warisan Plus kalah dan tiada majoriti.

Keputusan PRN Sabah menyaksikan Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, Dap, PKR dan UPKO mendapat 32 kerusi dan gagal mempertahankan kerajaan negeri.

“Terima kasih dan tahniah kepada seluruh jentera BN (Barisan Nasional) di mana sahaja anda berada. Tiada calon BN yang mampu menang tanpa usaha semua di segenap peringkat. Tahniah khas kepada jentera BN Sabah yang mendepani pertandingan ini semenjak awal lagi.

“Walaupun menjadi lawan kita, terima kasih atas jasa dan usaha kerajaan negeri terdahulu. Menjadi lawan tidak bermaksud perlu membenci atau menidakkan terus sebarang perkara positif yang mungkin dilaksana. Maka, amat rugi andaikata di penghujung perjalanan ini, pemimpin kerajaan negeri terdahulu enggan melepaskan kuasa dengan terhormat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berharap berharap agar masa hadapan rakyat Sabah lebih cerah di bawah naungan politik baharu.

“Moga masa hadapan rakyat Sabah lebih cerah di bawah naungan politik baharu. Moga BN Sabah akan terus diberi kebijaksanaan memimpin bersama sahabat-sahabatnya dalam GRS (Gabungan Rakyat Sabah).”

GRS memenangi 38 kerusi daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri itu dengan Perikatan Nasional (PN) memperoleh 17 kerusi, BN (14 kerusi) manakala PBS (tujuh kerusi). – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.