PRN Sabah : Tidak Rasmi Yakub Khan Rampas Kembali DUN Karambunai

KOTA KINABALU, 26 Sept – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Senator Datuk Yaakub Khan berjaya merampas kembali kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hari ini.

Beliau secara tidak rasmi memenangi kawasan berkenaan dengan mengalahkan lima lagi calon lain termasuk daripada Warisan yang merupakan penyandang bagi kerusi berkenaan.

Yaakob berdepan Ahmad Jais Otong (Parti Warisan, Nerudin Ludah (Parti Gagasan Rakyat Sabah),Dayangku Ayesha Humaira Bt Ak Othman Shah, Marajoh Unding (LDP) dan Ibrahim Linggam (USNO).

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, DUN Karambunai dimenangi oleh Azhar Matussin daripada Parti Warisan dalam pertandingan empat penjuru termasuk daripada BN yang ditandingi Datuk Jainab Ahmad.

PRN Sabah menyaksikan pertandingan bagi merebut 73 kerusi DUN, dengan sebanyak 13 kerusi baharu iaitu N02 Bengkoka, N06 Bandau, N08 Pintasan, N13 Pantai Dalit, N17 Darau, N24 Tanjung Keramat, N27 Limbahau, N44 Tulid, N47 Telupid, N51 Sungai Manila, N58 Lamag, N61 Segama dan N70 Kukusan.

Seramai 1.12 juta pengundi layak memilih pada pilihan raya berkenaan. PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lalu, sehari selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.