Penentuan Kerajaan Baharu Sabah Hari Ini

KOTA KINABALU, 26 Sept – Rakyat Sabah hari ini bakal menentukan siapakah yang akan menerajui negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 setelah tempoh berkempen berakhir semalam.

Lebih sejuta rakyat Sabah bakal membuat pilihan masing-masing dalam suasana pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Seramai 447 calon daripada 15 parti politik termasuk 56 calon Bebas bertanding bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam persaingan beberapa bagi setiap kawasan.

Seramai 1,594 petugas kesihatan ditempatkan di pusat mengundi di seluruh Sabah manakala polis memberi jaminan bahawa rakyat boleh keluar menunaikan kewajipan mereka dengan tenang tanpa sebarang kebimbangan.

Petugas jabatan kesihatan dan anggota pasukan keselamatan berdepan tugas berat bagi memastikan rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dan pada masa sama, keselamatan mereka terpelihara daripada jangkitan virus berbahaya itu.

Sejumlah 14,935 pemilih berdaftar mengundi secara pos manakala 16,877 pengundi awal pula sudah melaksanakan tanggungjawab masing-masing pada 22 Sept lepas dengan 76 peratus keluar mengundi.

Pagi tadi bermula 7.30 pagi sebanyak 2,540 saluran dibuka di 741 pusat mengundi dan seramai 17,257 petugas pilihan raya akan memastikan pengundian berjalan lancar.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata SPR juga akan menggunakan 20 helikopter untuk urusan penghantaran kertas undi ke pedalaman termasuk pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Saliliran dalam kawasan DUN Nabawan serta Pulau Dinawan yang terletak dalam DUN Sulabayan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali pula memberi jaminan proses PRN Negeri Di bawah Bayu akan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dan meminta orang ramai keluar mengundi tanpa sebarang keraguan.

PRN Sabah turut menyaksikan 13 DUN baharu iaitu Bengkoka, Bandau, Limbahau, Tulid, Segama, Kukusan, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Keramat, Lamag, Telupid dan Sungai Manila menjadi rebutan buat pertama kali.

PRN Sabah diadakan selepas Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan DUN pada 30 Julai sehari selepas bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa mendakwa telah memperoleh cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.