Hari Penentuan, Jentera BN Berganding Bahu Pastikan Kemenangan

KOTA KINABALU, 26 Sept – Seawal 7.30 pagi tadi sebanyak 2,540 saluran dibuka di 741 pusat mengundi manakala seramai 17,257 petugas pilihan raya akan memastikan pengundian berjalan lancar.

Proses pengundian melibatkan 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 ini.

Berdasarkan tinjauan UMNO Online di Sekolah Kebangsaan Stella Maris, Putatan, di sini selain pengundi yang beratur dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa, jelas kelihatan jentera-jentera Barisan Nasional (BN) merayu undi bagi calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, Mohd Reduan Aklee.

Begitu juga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan, di sini situasi yang sama kelihatan jentera merayu undi bagi calon BN DUN Tanjung Keramat, Shahelmey Yahya.

Selain jentera tempatan, BN turut diperkuatkan dengan jentera-jentera dari negeri lain yang telah berkampung selama lebih dua minggu bagi membantu kemenangan BN dan rakan gabungannya, Gabungan Rakyat Sabah di dalam PRN Sabah ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob di dalam catatan Facebooknya, beliau bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom kini berada di Bilik Gerakan BN Libaran bagi memantau situasi terkini peratus pengundian.

“Kak Su berdoa agar keputusan pada hari ini memihak Barisan Nasional,” katanya yang gemar menggelarkan dirinya sebagai ‘Kak Su’.

Di Sepanggar, calon BN bagi DUN6 Karambunai, Datuk Yakub Khan bersama Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyinsing lengan membantu warga emas yang menaiki kerusi roda untuk membuang undi di SMK Bandaraya Kota Kinabalu, di sini.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga calon BN di DUN Lamag selesai mengundi di SMK Bukit Garam, pada jam 11.15 pagi dan sempat meninggalkan pesanan kepada pengundi supaya terus mematuhi SOP COVID-19 demi keselamatan bersama.

Manakala di Semenanjung, dengan semangat yang ditunjukkan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, walaupun terdapat kekangan tidak dapat bersama turun ke lapangan pada hari ini, beliau tetap memantau perkembangan PRN Sabah di kediamannya di Kajang, Selangor dengan membuat sidang video secara langsung bersama Bilik Gerakan Utama BN di sini dan juga di beberapa tempat.

Begitu juga bagi Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang sedang menjalani perintah kuarantin di rumah, tetap meneliti perkembangan peratusan keluar mengundi di kalangan pengundi-pengundi yang dikategorikan sebagai putih atau pengundi BN di setiap DUN melalui Ketua-ketua Pemuda dan Penyelaras-pengelaras jentera Pemuda bagi setiap DUN.

“Setakat pukul 2.30 petang, di kebanyakan DUN BN Bertanding sudah melepasi 50 peratus pengundi putih yang keluar, alhamdulillah. Moga-moga ‘trend’ sebelah petang ini akan lebih meningkat.

“Jentera Pemuda BN di setiap Pusat Daerah Mengundi telahpun diarahkan untuk menjejaki semua pengundi putih terutamanya pengundi muda yang masih belum keluar hingga ke rumah masing-masing.

“InsyaAllah, moga kerja kuat semua jentera di lapangan bakal memperoleh kejayaan kepada BN. Jaga diri, jangan lupa pakai ‘mask’ (topeng pelitup muka), tangan sentiasa bersama ‘sanitizer’ (pembasmi kuman) semua,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Sehingga jam 1 petang tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratus keluar mengundi keseluruhan adalah sebanyak 48%.

Untuk rekod, Rabu lalu, pengundian awal berjalan yang melibatkan 16,877 anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing di 55 pusat mengundi di seluruh negeri. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.