Bung Moktar Hargai Petugas Hari Mengundi PRN Sabah

KINABATANGAN, 26 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menghargai semua petugas dalam memastikan proses mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hari ini berjalan lancar.

Beliau berkata mereka termasuklah petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), anggota pasukan keselamatan dan kesihatan yang bertungkus lumus memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi oleh semua pihak dalam mengekang penularan COVID-19 semasa proses mengundi dijalankan.

“Kita kena mematuhi SOP kerana kita sudah sedia maklum (proses mengundi) dalam suasana kita berhadapan dengan COVID-19.

“Saya yakin dan percaya semua pengundi yang layak mengundi boleh menunaikan hak mereka pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Garam bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada pukul 11.15 pagi di sini.

Bung Moktar, yang juga calon bagi kerusi DUN Lamag, berpuas hati dengan perjalanan proses mengundi di pusat mengundi, walaupun prosesnya agak perlahan.

Bung Moktar menghadapi pertandingan lima penjuru bagi merebut kerusi baharu DUN Lamag itu, menentang Junny @ Karuak Abdullah (Bebas), Mohd Ismail Ayob (Warisan), Mohd Al-Ruzaine @ Sairin Abdul Rahman (PPRS) dan Razman Mayah (PCS). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.