Kementerian Komited Bina 100 Buah Rumah Mangsa Kebakaran, Kelulusan Tapak Kuasa Kerajaan Negeri – Rahman

LIBARAN, 25 Sept – Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kementeriannya telah bersetuju untuk membina 100 buah rumah bagi mangsa kebakaran di Kampung Gas yang telah dua tahun menetap dalam kontena.

Namun jelas beliau, permasalahan yang timbul adalah di mana mahu dibina perumahan tersebut kerana kebenaran harus diperolehi daripada kerajaan negeri dan sekiranya Warisan masih mentadbir Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini maka sudah pasti perancangan pembinaan 100 buah rumah ini tidak akan berjaya.

“Bila kami meluluskan pembinaan 100 buah rumah di Kampung Gas bukannya bersyarat sebab kita sudah ada peruntukan tapi persoalannya di mana tanah untuk bina? Mereka mencadangkan membina di tapak kebakaran, kita bersetuju tidak ada masalah tapi sekiranya 26 September ini ditakdirkan Barisan Nasional (BN) dan rakan-rakan kalah, kita masih tidak dapat melaksanakannya tanpa kebenaran kerajaan negeri.

“Sebab itu saya menyeru kepada orang Sabah supaya beri mandat kepada BN (Barisan Nasional) dan PN (Perikatan Nasional). Calon kita adalah calon terbaik dan berwibawa. Maka kita nak mereka dapat tadbir Sabah dengan baik dan dapat bersama kerajaan pusat untuk kita laksanakan apa yang ktia sudah rancang buat rakyat. Kalau kerajaan negeri dan persekutuan tidak selaras maka susah untuk kita nak buat.

“Contohnya seperti di Kampung Gas ini, kita sudah luluskan tapi kalau kerajaan negeri tidak benarkan bagaimana kita nak buat?,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Rahman, lawatannya ke Kampung Gas dan melihat sendiri bagaimana mangsa kebakaran tinggal dalam kontena benar-benar membuatkan dirinya sedih.

“Saya sudah melihat sendiri kehidupan mereka dalam kontena. Sudahlah sempit, panas, anak-anak ramai. Apa yang kerajaan Warisan buat sehinggakan perkara ini berlarutan selama dua tahun.

“”Jadi, rakyat Sabah harus bijak, jangan lagi tertipu. Esok adalah hari penting maka balaslah kegagalan Warisan di kertas undi,” ujar beliau.

Untuk rekod, seramai lebih 100 keluarga terlibat dengan kebakaran di kampung tersebut pada tahun 2018. Mereka dijanjikan penempatan di kontena itu hanya selama enam bulan namun ia berlarutan sehingga kini. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.