Isu lapuk Yang Dikitar Semula Semasa PRU Lalu Tidak Lagi Diterima Pengundi – Rauf

SEPANGGAR, 25 Sept – Isu-isu lapuk Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang dicanang semula Pakatan Harapan (PH)/Warisan kini dilihat tidak lagi diterima secara bulat-bulat oleh masyarakat khususnya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai dan Darau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah esok.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof  berkata UMNO negeri yang membantu kempen di kedua-dua DUN berkenaan melihat rata-rata masyarakat setempat cukup bijak membuat penilaian yang sebenar terhadap apa yang dibangkitkan semasa tempoh berkempen yang akan berakhir malam ini.

Menurut beliau jentera parti yang berada daripada awal lagi bertungkus lumus bersama jentera setempat dalam usaha membantu kemenangan calon BN DUN Karambunai, Senator Datuk Yakub Khan dan juga calon DUN Darau, Datuk Jumat Idris.

‘’UMNO Melaka akan terus memberi tumpuan dan akan terus berkempen sehingga saat-saat akhir bagi membantu kedua-dua calon ini pada PRN Sabah Sabtu ini.

”Memasuki masa-masa terakhir kempen, kita sejak awal lagi telah pun berada di sini dan kita lihat penerimaan masyarakat untuk membantu memenangkan calon BN amat baik dan dilihat bahawa ramai yang telah sedar isu-isu lapuk yang dibawa pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu sudah tidak lagi dipakai oleh masyarakat,’’ katanya kepada UMNO-Online.

Terdahulu beliau bersama calon BN DUN Karambunai, Senator Datuk Yakub Khan mengadakan ramah mesra bersama jentera dan pengundi di rumah Flat Taman Telipok Ria, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telipok Darat.

Tambah Ab Rauf rakyat sudah sedar selama 22 bulan yang terdahulu telah pun mengajar mereka mengenal erti sebuah nilai kemenangan pilihan raya.

‘’Kita lihat rakyat Sabah seharusnya bangkit bersama-sama dengan pejuang-pejuang untuk memperjuangkan kemenangan di Sabah ini bagi memberi isyarat bahawa rakyat sudah sedia untuk mengubah mana-mana parti politik yang sudah tidak lagi relevan di dalam perjuangan yang tidak sesuai dengan waktu ini,’’ ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.