Hentikan Spekulasi, Saya Tak Terlibat… Kerajaan Baharu Hanya Angan-angan Anwar – Ku Nan

 

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Bendahari UMNO merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dan sama sekali tidak menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu yang diketuai oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Katanya, ini hanyalah angan-angan Anwar dan berharap agar tidak ada pihak yang percaya dengan dakwaannya.

“Saya tetap bersama UMNO, dulu kini selamanya dalam perjuangan sebuah bangsa. Kita dalam UMNO juga telah putuskan ‘no Tun Mahathir, no Anwar and no Dap’, jadi hentikanlah spekulasi ini,” bidas beliau lagi dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa agar spekulasi ini dihentikan segera.

“Hentikan spekulasi, kita teruskan perjuangan menjaga rakyat dan tetap setia bersama Barisan Nasional (BN).”

Terdahulu tular menerusi sebuah portal yang mengaitkan Tengku Adnan sebagai antara menteri dalam kabinet baharu pimpinan Anwar dengan turut melibatkan anak-anak serta adik-beradiknya di Putrajaya.

Dilaporkan, Rabu lalu Anwar mendakwa dia sudah memiliki sokongan majoriti yang kukuh dan meyakinkan namun enggan mendedahkan jumlah anggota parlimen yang memihak kepadanya.

Namun demikian dakwaan tersebut dinafikan oleh sebilangan individu yang dikatakan terlibat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.