Fokus Pada PRN Sabah Dahulu – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata fokus pada kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah sangat penting.

Jelas beliau, pada minggu hadapan mesyuarat induk Muafakat Nasional akan diadakan maka sama-samalah bagi kedua-dua parti UMNO dan PAS memberikan penjelasan dengan semangat ukhuwah.

“Fokus PRN Sabah dahulu, minggu hadapan dalam Mesyuarat Induk Muafakat Nasional secara tertutup, pimpinan boleh dapatkan penjelasan atas semangat musyawarah dan ukhuwwah.

“Sama-sama perlukan penjelasan termasuk penyertaan PAS sebagai salah satu komponen parti dalam Parti Perikatan Nasional. Insya-Allah, UMNO tidak pernah membelakangi PAS jauh sekali untuk mengkhianati prinsip bersama sebagaimana yang digariskan dalam Piagam Muafakat Nasional,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang mahukan UMNO memberikan penjelasan yang sejelas-sejelasnya atas dasar Muafakat Nasional.

Dalam pada satu kenyataan yang lain, Asyraf berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan yang diberikan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa Muafakat Nasional ungguh kukuh walaupun ada usaha hendak mengganggunya.

“Amat setuju dengan kenyataan cukup bijaksana Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Kerjasama UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional sebenarnya amat kukuh. Walaupun ada usaha untuk menggugatnya, namun selagi matlamat permuafakatan atas semangat Penyatuan Ummah sebagaimana yang digariskan bersama, insya-Allah tiada apa yang boleh menggangu-gugatnya.

“Apa-apapun jangan hilang fokus!  Tumpukan PRN Sabah dahulu!,” tegasnya.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok, 26 Sept sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sabah. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.