Warisan/PH Terdesak… Mana 10 Orang Dari UMNO? Kami Semua Sibuk Kempen Menangkan Parti Di Sabah

LIBARAN, 24 Sept – “Dia (Anwar Ibrahim) cakap dari UMNO ada 10 orang… saya percaya sebenarnya tidak ada sebab kami semua sedang berkempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini malah GPS juga telah menyatakan tetap bersama Tan Sri Muhyiddin. Jadi mana 10 orang itu? Ini semua sebenarnya taktik dia untuk meraih simpati,” bidas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, Warisan bersama rakan sekutu dari Pakatan Harapan (PH) sebenarnya sudah terdesak apabila melihat momentum pengundi di Sabah ini berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

“Mereka sebenarnya terdesak kerana telah menjangkakan akan kalah, jadi apa yang perlu mereka lakukan untuk meraih simpatan rakyat Sabah adalah dengan cara ini.

“Mereka lihat isu yang kami bawa iaitu kerajaan negeri mesti selari dengan kerajaan pusat membuatkan mereka tidak ada jalan lain lagi.

“Maka mereka ambil kesempatan di kala hari mengundi sudah tinggal sehari sahaja lagi dan di ketiga Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong sedang gering,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Justeru, Abdul Rahman menyeru kepada rakyat Sabah agar jangan sesekali terpedaya dengan taktik meraih simpati mereka ini kerana sekiranya tersilap memilih maka kesannya amat buruk kepada masa hadapan rakyat dan negeri Sabah itu sendiri.

Untuk rekod, Anwar dalam sidang medianya semalam mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘telah jatuh’ dan beliau menerima ‘sokongan kukuh dan meyakinkan’ daripada majoriti ahli parlimen termasuk UMNO untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baharu. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.