Ubah Balik: Puteri UMNO Tawau Tawan Pengundi Dengan Konvoi Sekitar Pedalaman

TAWAU, 24 Sept – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diaplikasi ‘sumandak’ (anak gadis) di sini melalui Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang berkonvoi beramai-ramai dalam usaha untuk menawan hati pengundi bagi memilih Barisan Nasional (BN) menjelangnya hari pengundian pada Sabtu ini.

Dengan wajah ayu dan berpakaian merah jambu yang sememangnya warna sinonim dengan Puteri UMNO, seramai 30 anggota jentera telah berkonvoi dengan menaiki motosikal dan kenderaan pacuan empat roda yang menjelajah dari satu kampung ke kampung lain.

Ketuanya, Julisah Isa berkata, semangat anak muda untuk ‘Ubah Balik’ dengan memastikan parti Warisan tumbang serta Barisan Nasional (BN) kembali berkerajaan di Sabah amat tinggi.

“Program ini adalah acara santai anak-anak muda dalam usaha untuk menarik pengundi bagi memilih BN setelah ramai sekali tertipu khususnya anak-anak muda ini,” katanya.

Konvoi tersebut telah memasuki kampung-kampung di kawasan pedalaman di sini termasuklah Kampung Tass Andrassy, Kampung Serudung Baru dan Kampung Serudung Kuala Nansang.

Lebih menarik, sepanjang berkonvoi, lagu BN dan ‘Ubah Balik’ dikumandangkan diselangi dengan suara lunak Noratika Awang, 30, yang mengajak orang ramai untuk memberikan undi kepada calon BN.

“Marilah semua kita pilih Barisan Nasional, dengan calon kita nombor empat Hamild Awang. Undilah Barisan Nasional, kita ‘Ubah Balik’, ‘radu tatap radu’, ‘radu sampai rata’, ‘tatap BN,” katanya.

Pada penghujung acara konvoi, anggota Puteri UMNO ini telah menyantuni masyarakat Iban dengan menekuni mereka dalam acara tradisi anyaman bakul dan beg yang cukup tinggi nilainya.

Lantaran itu, pulangnya anggota konvoi Puteri UMNO Tawau dengan wajah ceria apabila masing-masing di tangan memegang hasil tangan masyarakat Iban yang dibeli dalam sesi terbabit. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.