‘Ubah Balik’ ‘Kesuraman’ Sabah Yang Dikerjakan Warisan/PH – Suraya

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob berkata pada saat ini jentera Barisan Nasional (BN) sedang melakukan pecutan akhir dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Katanya, berbaki sehari lagi tempoh berkempen, semua jentera sebenarnya sudah memasuki ‘turbo gear’ untuk memberi keyakinan kepada seluruh pengundi Sabah untuk memilih BN.

“Kami tidak kalut, tetap tenang, tersusun dan bersemarak semangat mengikut rentak PRN Sabah yang kelihatan condong ke arah BN. Kami tetap teguh bersama rakyat Sabah membantu usaha ‘ubah balik’ suram negeri ini yang ‘dikerjakan’ Pakatan Harapan (PH) dan Warisan selama 26 bulan.

“Namun… di sebalik keyakinan itu, kami tidak bongkak atau sombong malah mempertingkatkan lagi jentera pilihan raya BN menyantuni rakyat bumi di bawah bayu yang terdiri daripada pelbagai agama, etnik dan lapisan masyarakat.

“Alhamdulillah, sememangnya setiap kali pilihan raya, sama ada PRN, Pilihan Raya Kecil (PRK) mahupun PRN seperti ini, BN memiliki kekuatan jentera yang tersusun dari segenap sudut, sekali gus menjadi paksi kekuatan bagi memenangi kerusi yang ditandingi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Suraya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang merasa yakin bahawa masyarakat Sabah akan kembali menobatkan BN sebagai parti yang menerajui Kerajaan Negeri Sabah pada 26 Sept nanti.

“Sedang kami bertungkus-lumus memastikan kemenangan BN di bumi di bawah bayu, para penyokong BN di seluruh negara doa-doakanlah kami dan rakyat Sabah.

“Mintalah pada-Nya dengan ikhlas, insya-Allah kita akan beroleh kemenangan lagi di sini. Hidup Sabah! Hidup UMNO! Hidup BN! Hidup MN!,” katanya lagi.

Untuk rekod, Sabah ketika di bawah BN menjadi negeri paling tinggi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) sebanyak adalah 8.2% iaitu paling tinggi antara semua negeri dan lebih tinggi berbanding kadar 5.9% bagi seluruh Malaysia berbanding di bawah Warisan menjunam kepada 1.5 peratus pada tahun 2018 dan 0.5 peratus (2019).

Begitu juga banyak janji-janji yang Warisan gagal tunai meskipun telah 26 bulan memerintah Sabah seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), iisu pendatang tanpa izin (PTI), peluang pekerjaan kepada anak muda, projek pembinaan Empangan Papar, Sabah Forest Industry Sdn Bhd (SFI), Pas Sementara Sabah (PSS) dan juga Transformasi Jabatan Keretapi Negeri Sabah. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.