Sindrom September: MP UMNO Nafi Sokong Anwar

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau pernah atau terlibat menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu yang diketuai oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita dalam talian.

Mahdzir menafikan perkara tersebut menerusi status yang dimuat naik di laman sosial facebooknya, hari ini.

Selain Mahdzir, Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Rahman turut menafikan menyokong Anwar.

Tegas Tajuddin, beliau masih kekal dalam parti UMNO dan menyokong kerajaan PN.

“Pertama kenyataan saya adalah Anwar harus membuktikan kenyataannya di Dewan, bukan di luar. Dalam Dewan, beliau perlu buktikan beliau mempunyai sokongan lebih daripada PN. Anwar ini sebenarnya terkenal dengan sandiwara, dulu 16 September beliau mempunyai angka untuk membentuk kerajaan tetapi gagal.

“Jadi kita tidak terkejut dengan sandiwara beliau, walau bagaimanapun kalau pun betul beliau mempunyai angka, ia tidak automatik membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri,” ujar beliau ketika dihubungi oleh UMNO-Online.

Sementara itu Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar mengucapkan ‘terima kasih’ kerana Anwar mengingati dirinya dan menyenaraikan beliau sebagai Menteri Kerja Raya.

“Terima kasihlah ingat pada saya tapi saya tetap bersama keputusan parti. Nasib baik saya tidak ada darah tinggi, kalau tidak mahu saya pengsan. Bincang apa pun tidak, tiba-tiba nama saya ada,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Parit Datuk Nizar Zakaria pula menyifatkan Anwar terkena ’sindrom September’.

“Asal bulan September sahaja dia cakap ada majoriti, dulu pun begitu.

“Bagi saya, saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan saya menyokong Anwar. Saya teguh bersama suara parti. Ini semua salah satu cara Anwar untuk mempengaruhi pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” ujar beliau.

Ketua UMNO Sabah Datuk Bung Moktar Radin ketika dihubungi pula berkata, beliau tidak tahu menahu tentang perkara tersebut dan tumpuannya kini hanyalah kepada memastikan BN dan rakan kongsi menang dalam PRN Sabah.

“Saya tidak tahu pasal hal ini dan saya hanya mahu tumpukan pada kemenangan PRN Sabah,” ujar Bung Moktar.

Untuk rekod, memetik portal The Coverage, terdapat 19 orang ahli parlimen UMNO yang menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Senarai tersebut adalah seperti berikut:

Arau – Shahidan Kassim
Padang Terap – Mahdzir Khalid
Baling – Abdul Azeez Abdul Rahim
Machang – Ahmad Jazlan Yaakub
Besut – Idris Jusoh
Padang Rengas – Mohamed Nazri Abdul Aziz
Parit – Mohd. Nizar Zakaria
Pasir Salak – Tajuddin Abdul Rahman
Bagan Datuk – Ahmad Zahid Hamidi
Jerantut – Ahmad Nazlan Idris
Pekan – Mohd. Najib Abdul Razak
Tanjong Karang – Noh Omar
Putrajaya – Tengku Adnan Tengku Mansor
Pontian – Ahmad Maslan
Kimanis – Mohamad Alamin
Kinabatangan – Bung Moktar Radin
Rompin – Hasan Arifin
Cameron Highlands – Ramli Mohd. Noor
Gerik – Hasbullah Osman – UMNO ONLINE

Oleh:Azlina Rosdy

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.