Santuni Tokoh Kepimpinan Tempatan, Tauladani Kebangkitan UMNO – Sharkar

KALABAKAN, 24 Sept. – Dalam kemeriahan melunaskan baki kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang hanya berbaki satu hari sebelum hari pengundian pada Sabtu ini, mantan kepimpinan Barisan Nasional (BN)/UMNO tempatan tetap disantuni dalam ukhwah silaturrahim.

Hal tersebut direalisasikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin yang mengadakan kunjungan kepada tokoh UMNO di Kalabakan iaitu bekas Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Abdul Ghaffur Salleh di kediamannya, hari ini.

Katanya, kunjungan tersebut dibuat sebagai menghormati kepimpinan Datuk Seri Abdul Ghaffur yang merupakan pelopor kepada kebangkitan UMNO dan perkembangannya di Kalabakan.

“Ini adalah tradisi… kunjungan hormat kepada mana-mana pemimpin dan juga mantan kepimpinan UMNO bukanlah satu perkara baru apatah lagi sekarang ini kita dalam suasana berkempen untuk pilihan raya dan sebagai orang lama di Kalabakan tentunya beliau mempunyai pengalaman berharga yang dapat anggota jentera aplikasi.”

Ghafur memulakan karier politiknya awal tahun 70-an dengan menyertai Parti Berjaya dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai pada pilihan raya 1981 dan mempertahankannya pada tahun 1985 atas tiket BN.

Beliau menyertai UMNO pada tahun 1991 dan pada 1999 beliau bertanding di DUN Kalabakan sebelum diwartakan sebagai Parlimen bermula tahun 2004.

Menurut Mohd Sharkar, kepimpinan dan pengalaman beliau menerajui UMNO serta membawa kemajuan kepada penduduk Kalabakan bukanlah sesuatu yang kecil.

“Kita juga turut mendengar kisah-kisah beliau yang membangunkan Kalabakan melalui perjuangan BN/UMNO selain turut bertukar-tukar pandangan berkaitan hal-hal semasa,” katanya kepada UMNO Online.

Mohd Sharkar yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang berkata demikian selepas sesi pertemuan terbabit.

Pahang adalah negeri angkat Bahagian Kalabakan yang bertanggungjawab membantu bahagian terbabit sepanjang PRN Sabah.

“Untuk PRN ini BN/UMNO bertanding di dua DUN dalam Kalabakan iaitu di DUN Kukusan dengan calonnya, Chaya Sulaiman dan DUN Tanjung Batu, Andi Suryady Bandi.

“Kedua-dua calon ini sememangnya wajah baru yang tidak asing di Kalabakan kerana Chaya adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian yang sudah puluhan tahun menaburkan khidmat berjuang untuk rakyat sementara Andi yang juga Ketua UMNO Bahagian adalah anak tempatan dan orang baru yang mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin.

“Kita berharap calon-calon ini akan beroleh kemenangan dan memberikan sumbangan dalam membantu BN menjadi kerajaan di Sabah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.