PRN Sabah: Demi Masa Depan Rakyat, Teruskan Bersatu Hati Undi BN – Pemuda Kalabakan

KALABAKAN, 24 Sept – Para pengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung Sabtu ini digesa untuk terus bersatu hati dengan tekad kukuh bagi mengundi calon-calon Barisan Nasional (BN) demi membela masa depan rakyat.

Bagi Ketua Pemuda UMNO Kalabakan, Aslan Fadli Samsul Alang, pentingnya untuk golongan rakyat pertahankan BN adalah agar dapat memartabatkan semua golongan rakyat terutamanya anak-anak muda yang selama ini telah ditipu oleh parti Warisan.

Katanya, Warisan berjanji untuk melaksanakan segala bantuan yang ada kepada anak-anak muda tetapi akhirnya mereka merasa tertipu.

“Jadi saya mengharapkan kepada semua khususnya golongan muda pentingnya untuk mengundi BN supaya dapat mengangkat suara-suara orang muda sampai ke peringkat atasan dan membantu golongan muda yang selama ini terjejas akibat pembuangan kerja dan bantuan yang tak sampai.

“Saya harap golongan muda ini dapat kembalikan semula BN untuk memerintah semula di negeri Sabah kerana saya yakin dan percaya bahawa hanya parti BN saja yang dapat membantu golongan muda khususnya rakyat Sabah,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam masa yang sama, beliau menolak dakwaan kononnya orang muda tidak menyokong BN.

“Ini adalah satu provokasi daripada pihak lawan kerana dalam PRK (Pilihan Raya Kecil) Kimanis misalnya, semua saluran muda BN menang.

“Alhamdulillah buat masa ini penerimaan terhadap BN terutamanya di Kalabakan yang berwajah baru dengan calonnya adalah orang muda di DUN (Dewan Undangan Negeri) Tanjung Batu iaitu merupakan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Andi Suryady Bandi dan juga di DUN Kukusan, Chaya Sulaiman juga wajah baru walaupun orang lama tapi beliau adalah orang yang setia kepada parti.”

Berkaitan dengan penularan COVID-19 yang masih berlarutan, beliau turut menggesa semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Insya-Allah saya akan memastikan kepada semua jentera untuk mematuhi SOP dan kepada pengundi-pengundi juga dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerana kita tahu Sabah kini adalah zon merah terutamanya di Tawau.

“Anak-anak muda terutamanya pengundi-pengundi patuhilah SOP terutamanya penjarakan sosial,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.