PRN Sabah: Aura Wanita Tidak Pernah Luntur Bantu BN Capai Kemenangan

KOTA KINABALU, 24 Sept – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Norshida Ibrahim berkata aura jentera Wanita khususnya tempatan dilihat cukup bersemangat dan tidak pernah luntur sekalipun Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan dalam situasi pandemik COVID-19.

Menurut beliau 26 Sept ini bakal menjadi detik bersejarah buat rakyat negeri Sabah khususnya untuk memilih calon pemimpin berwibawa dalam menentukan kerajaan baru buat negeri itu.

Katanya juga, semangat yang ditunjukkan oleh jentera amat tinggi bagi memastikan kemenangan calon dari UMNO dan parti-parti dalam Barisan Nasional (BN) serta komponen Perikatan Nasional (PN).

“Jentera Wanita UMNO tempatan telah dinasihatkan untuk mematuhi segala SOP (prosedur operasi standard) dan tatacara perjalanan pilihan raya bertujuan untuk mengurangkan risiko tersebarnya wabak COVID-19 dalam kalangan pengundi serta juga dalam kalangan calon, penyokong dan pekerja pilihan raya.

“Ternyata semangat serta keazaman untuk memastikan kemenangan bergaya calon dari parti UMNO dan BN serta Perikatan Nasional membuktikan kepenatan diri bukanlah halangan kepada Wanita UMNO tempatan untuk memilih kerajaan baru buat negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi walaupun penuh semangat perjuangan dalam jiwa dan raga, dinasihatkan supaya semua jentera Wanita tidak terlupa untuk menjalani saringan kesihatan selepas selesai tempoh berkempen bagi PRN Sabah sebelum pulang ke daerah masing-masing.

Pada hari mengundi, ujar Norshida lagi saringan suhu badan dan kawalan kehadiran pengundi dilaksanakan bagi memastikan penjarakan fizikal selain para pengundi yang bergejala seperti mempunyai suhu melebihi 37.5 darjah celsius, batuk, sakit tekak dan sesak nafas akan diasingkan daripada pengundi lain serta akan menggunakan khemah khas yang disediakan.

“Pengundi berstatus positif COVID-19 tidak dibenarkan untuk keluar hospital bagi mengundi manakala pengundi berstatus Individu dalam Penyiasatan (PUI) dan Individu dalam Pengawasan (PUS) yang berhasrat mengundi perlu memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Pegawai Kesihatan Daerah.

“Selamat berjuang dan selamat mengundi untuk rakyat Sabah,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.