Warisan Janji Bulan Bintang… Tapi Tak Turun-turun, Dihina Pula Pejuang Negara – Shamsul Alang

KALABAKAN, 23 Sept. – “Apa sebenarnya yang rakyat mahu?” Itulah persoalan yang dilontarkan oleh Presiden Persatuan Rumpun Bugis Melayu Malaysia (PRBM), Datuk Samsul Alang Hamsah ketika memulakan ceramah kepada khalayak di Kampung Pasir Putih, di sini, malam tadi.

Tegasnya, tentu sekali rakyat mahukan pembangunan dan kemajuan sebagaimana di bandar-bandar lain untuk mengalir ke kawasan kampung di sini.

Namun malangnya kata beliau, yang dijanjikan oleh Parti Warisan sebelum ini adalah bulan dan bintang yang sehingga kini tak turun-turun.

“Kalau setakat mahu janjikan bulan dan bintang maka saya pun boleh janji juga… untung-untung esok turun tapi kalau tak turun-turun tunggulah saja,” katanya ketika berucap dalam program Pemimpin Bersama Rakyat bersama calon DUN N71, Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Bidasnya, sudahlah pembangunan tak ada, malah pemimpinnya pula menuduh anggota keselamatan negara hanya berperang dengan anjing dan kucing.

“Inilah pemimpin Warisan yang kata kalau nak main tembak-tembak baik tembak ayam sedangkan ini adalah soal nyawa makanya tentera datang untuk menyelamatkan rakyat dari pencerobohan di Sabah.

“Mereka katakan ini adalah satu permainan sedangkan anggota keselamatan kita terkorban, maka ini adalah satu taktik Warisan yang penuh dengan pembohongan,” katanya.

“Apabila sudah ditolak rakyat, dah tak ada jawatan mahu cakap yang bukan-bukan namun jangan sangkalah Warisan boleh memerintah Negeri Sabah kerana rakyat sudah bersatu mahu tolak Warisan.”

Beliau berkata demikian merujuk kepada video calon Warisan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mendakwa pencerobohan Lahad Datu tahun 2013 hanya satu sandiwara dan menganggap anggota-anggota keselamatan sebenarnya bukan ‘berperang’ dengan pengganas sebaliknya hanya ‘berperang’ dengan ayam dan anjing.

Tegasnya, rakyat Sabah perlu tolak pemimpin sedemikian dan parti Warisan yang penuh dengan pembohongan.

Berkaitan dengan PRN Sabah, ujarnya, tidak perlulah rakyat marah walau dalam keadaan berdepan pandemik COVID-19 masih Warisan sajikan dengan pilihan raya.

“Kita patut ucap terima kasih kepada Warisan kerana adakan PRN. Ini adalah peluang kita untuk ubah kerajaan kembali kepada Barisan Nasional (BN) yang ternyata lebih baik daripada pentadbiran Warisan.

“Kalau tak ada PRN kita perlu tunggu hingga habis penggal sedangkan baru dua tahun lebih berkuasa pun dah macam-macam yang berlaku kepada rakyat Sabah.”

Sehubungan itu, beliau yang juga mantan Ketua Penerangan UMNO Kalabakan menggesa agar jentera meningkatkan gerak kerja selain anggota parti yang muda terus menyantuni pengundi termasuklah golongan berusia.

“Rakyat perlukan BN kerana BN ternyata parti yang boleh membantu rakyat, maka kelak apabila calon ini menjadi Yang Berhormat, ingat-ingatlah pada rakyat yang menaikkan dan bantulah rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.