Tuduh BN Cipta Tragedi Lahad Datu, Peningkatan COVID-19… Warisan Tandus Idea, Bidas Bung Moktar

KINABATANGAN, 23 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah yang juga merupakan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, tuduhan pemimpin Warisan yang mengatakan tragedi pencerobohan Lahad Datu dan peningkatan pandemik COVID-19 di negeri itu adalah ciptaan BN menunjukkan secara jelas bahawa Warisan sudah ketandusan isu untuk berkempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ujar beliau, tuduhan tidak logik itu juga menunjukkan betapa rendahnya mentaliti pemimpin Warisan.

“Ini adalah satu penghinaan terhadap anggota keselamatan, saya rasa ada yang tidak kena dengan otak pemimpin Warisan ini. Mana mungkin pencerobohan itu adalah ciptaan BN. Ini juga jelas menunjukkan mereka memperlekehkan pejuang kita lebih-lebih lagi yang telah terkorban dalam pencerobohan tersebut.

“Pendirian kita pula jelas bahawa kenyataan sebegitu tidak sepatutnya berlaku kerana kenyataan seperti ini bukan sahaja mengguris perasaan keluarga mangsa tapi satu penghinaan terhadap anggota keselamatan. Bukan itu sahaja, selepas itu timbul satu lagi video orang yang sama (Datuk Mohamaddin Ketapi) menyatakan peningkatan COVID-19 di Sabah ini adalah ciptaan BN sebab dulu tidak ada pilihan raya COVID terkawal tapi bila ada pilihan raya COVID meningkat sehinggakan dia minta Menteri Pertahanan letak jawatan sebab mencipta serangan COVID ini.

“Apa yang pemimpin Warisan ini kata tidak boleh diterima akal. Jadi, rakyat harus melihat parti mana dan pemimpin mana yang mereka boleh sokong. Jangan lagi salah pilih, dulu sudah salah pilih, sudah salah ubah, kali ini Allah bagi peluang untuk memilih kerajaan baru. Jadi rakyat Sabah harus sedar, pilihlah kerajaan yang benar-benar boleh menitikberatkan rakyat, boleh membangun negeri Sabah dan menyatupadukan perpaduan kaum, bukan seperti sekarang, rakyat berada dalam keadaan tegang dan provokasi etnik yang tinggi,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Bung, provokasi etnik yang tinggi tidak boleh dibiarkan kerana Sabah adalah sebuah negeri berbilang kaum dan sekiranya dibiarkan, Sabah akan menjadi satu negeri yang tidak lagi harmoni dan hilang kesatuan.

Bung Moktar turut berkata, selain ketandusan isu Warisan juga gagal dalam mentadbir negeri di bawah bayu ini sehingga akhirnya Warisan tumbang.

“Warisan telah memerintah selama 29 bulan tetapi akhirnya tersungkur kerana pemerintahan mereka tidak ada ketelusan dan keikhlasan dalam mentadbir urus kerajaan. Apa yang ada cuma Warisan terus bermain politik 24 jam. Mereka lalai mengurus politik dan tidak boleh mengurus rakyat dengan baik, janji mereka hanya tinggal janji.

“Hari ini Warisan juga terus memainkan sentimen menanam janji dan sentimen anti Malaya. Tapi mereka tidak sedar parti Warisan turut bersekongkol dengan Dap iaitu parti dari Semenanjung, anti Melayu bumiputera. Boleh pula Shafie Apdal meminta untuk rakyat Sabah undi Dap tapi bila UMNO dia kata parti Malaya.

“Maka, pada 26 September ini saya berharap rakyat Sabah akan bijak memilih dan tidak lagi tertipu dengan janji manis Warisan,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79