Ulang Dan Terus Ulang… Jangan Silap Pilih, Jadikan Kerajaan Sabah Sehaluan Dengan Persekutuan

SEPANGGAR, 22 Sept – Rakyat Sabah khususnya kalangan pengundi sekali lagi diingatkan agar jangan silap memilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 Sept nanti kerana berdasarkan Aku Janji Barisan Nasional (BN) serta rakan gabungannya yang lain telah sama-sama bertekad untuk memastikan agenda rakyat Sabah terus menjadi keutamaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata di dalam Aku Janji yang telah dilancarkan sebelum ini jelas beberapa perkara utama seperti pembangunan rakyat, pendidikan, kemahiran, kesihatan, perniagaan, infrastruktur, prasarana, sumber insan dan sebagainya lagi hanya akan dapat dilaksanakan jika kerajaan negeri selari dengan kerajaan persekutuan.

Menurut beliau kerajaan Warisan dan sekutunya adalah pembangkang dan kekuatan untuk membangunkan hanya ada pada kerajaan persekutuan yang sehaluan dengan kerajaan negeri dan sudah pasti semua pihak tidak mahu ianya terbantut jika kerajaan negeri ini masih lagi pembangkang.

‘’Kita berharap agar rakyat memilih kali ini dengan tepat  dan pilihan yang tepat itu adalah rakan-rakan dalam gabungan BN dan rakan-rakan dalam PN (Perikatan Nasional) serta  teman lain bersama. Jadi pada saya PRN ini cukup jelas sama ada kita ingin meneruskan pembangunan ataupun ingin membantutkan pembangunan.

‘’Jika kita ingin meneruskan pembangunan  maka kita kena memilih kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan persekutuan dan pilihan cukup jelas. Geng Warisan tidak bersama dengan kerajaan persekutuan. Kerajaan Warisan Sabah ini adalah kerajaan pembangkang. Ini satu perkara yang rakyat kena ketahui.

‘’Jangan apabila kita ada peluang untuk menjadi kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan persekutuan kita masih lagi ingin menjadi pembangkang. Apa faedah untuk kita jadi pembangkang. Kerajaan negeri Sabah adalah pembangkang sebab kerajaan persekutuan didokong oleh BN dan PN,’’ ujarnya.

Terdahulu sebelum itu beliau bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan BN Sabah yang lain berkempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Likas Darat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau yang ditandingi Datuk Jumat Idris.

Ahmad seterusnya menambah BN yang bertanding di 41 kawasan pada PRN kali ini telah memperlihatkan sokongan yang cukup baik.

‘’Dan saya telah pergi ke banyak kawasan dan menjelajah Sabah dalam masa seminggu ini dan kita boleh melihat sokongan kepada calon-calon BN dari sehari ke sehari makin meningkat dan ada satu dua kawasan yang masih perlu pertingkatkan usaha dan kita akan memberi tumpuan insya-Allah,’’ ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.