Terlalu Banyak Jasa BN Untuk Sabah, Jangan Tersilap Langkah… – Pengundi Tegar BN


TAWAU, 22 Sept. – Rakyat Sabah khususnya para pengundi diseru untuk terus memilih hanya calon Barisan Nasional (BN) menjelangnya hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sabah pada Sabtu ini.

Bagi Oley Apna, 75, pengundi-pengundi perlu melihat BN secara keseluruhan apatah lagi telah terbukti bahawa jasa-jasa BN kepada Sabah terlalu banyak.

“Memang banyak kemajuan-kemajuan yang telah dibawa oleh Barisan Nasional dan saya menyaksikan sendiri bagaimana kawasan Balung ini membangun sejak dari dulu hingga sekarang,” katanya yang merupakan penduduk di Kampung Serudung yang berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, di sini.

Katanya rakyat perlu menyokong BN kerana BN ini terlalu banyak jasanya di Sabah.

“Apa yang mereka kata tentang Sabah dalam BN semuanya tidak betul. Mereka tuduh BN macam-macam tapi sebenarnya BNlah yang banyak membantu rakyat dan bawa pembangunan serta kemajuan kepada masyarakat.

“Siapa kata Sabah ini tidak ada pembangunan, siapa kata BN tak bawa kemajuan… sebenarnya lagi banyak bawa kemajuan dari parti yang lain. BN saja yang boleh dikatakan banyak buat pembangunan di Sabah.”

Jelasnya, beliau yang merupakan pesara tentera mengikuti perkembangan pembangunan Sabah dan melihat sendiri bagaimana BN selaku kerajaan sebelum ini amat bertanggungjawab.

“Saya tengok dalam Sidang Parlimen, dari dulu saya ikut dan memang betul kata Bung (Bung Moktar Radin) sewaktu jadi pembangkang yang menafikan tuduhan menteri-menteri PH terhadap pentadbiran BN di Sabah. Mereka kata perkara yang tidak betul.

“Saya sokong kuat kepada BN kerana implikasinya kepada rakyat. BN dah terbukti tidak memilih untuk beri bantuan, tidak lihat parti apakah, undi manakah semua dibantu. Nak beri bantuan pun tak tanya kamu parti apa… tak tanya kamu undi siapa… tak ada tanya kamu sokong siapa.

“Lihat saja bagaimana BN berikan BRIM kepada rakyat… diberi kepada semua, RM300 maka semua dapat RM300. Perkara ini tidak terjadi kepada kerajaan Warisan yang hanya beri kepada kawan-kawan mereka saja. BN ini dulu … pembangkang atau tidak semuanya diberi.”


Berkaitan dengan calon BN, Hamild @ Hamid Awang, beliau secara peribadi memang mengenalinya malahan ramai orang di Tawau khususnya di Balung ini sangat mesra dengan calon yang diketengahkan oleh BN.

“Saya kenal dengan Hamild, biarpun baru kali pertama bertanding dalam pilihan raya tetapi tidak asing dalam ruang berkhidmat kepada rakyat dan berpolitik di sini.”

Sehubungan itu, beliau berkata sebagai orang lama yang tahu tentang perkembangan Sabah maka meminta para pengundi jangan lagi tersalah pilih.

“Saya nasihatkan agar jangan pilih parti-parti yang lain, undilah BN kerana undi BN ini banyak faedahnya dan jika BN menang di Sabah, ia akan memberi kesan kepada Pilihan Raya Umum (PRU).

“Saya ingatkan juga kepada orang-orang kampung di sini agar jangan tersilap langkah, kalau tersilap langkah masuk longkang kita… ingat itu, undi BN, maklumkan pada semua, anak, bapa dan sesiapa saja. Pergilah mengundi dan undilah BN. Tatap BN dan BN akan tetap menang.”

Terdahulu beliau juga menggesa jentera BN untuk berkerja kuat khususnya menjelangnya penghabisan kempen dan pada hari pembuangan undi nanti.

“Jentera juga mesti kerja kuat, bawa pengundi ke kawasan-kawasan pengundi. Ingat itu… bawa pengundi dari kampung-kampung dan jangan tunggu, kalau tunggu orang lain akan sambar,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.