PRN Sabah: Ir Shahelmey Garis Tiga Impian Untuk DUN Tanjung Keramat

PUTATAN, 22 Sept – Calon muka baharu yang ditampilkan Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini mempunyai impian yang tersendiri dengan melihat pelbagai potensi yang ada di kawasan tersebut dengan  menggariskan tiga perkara utama untuk masyarakat setempat.

Calonnya, Ir Shahelmey Yahya berkata, perkara itu termasuklah usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat, keduanya membangunkan  sumber manusia berasaskan ilmu pengetahuan dan ketiga mempegiatkan lagi aktiviti ekonomi serta perniagaan di kawasan berkenaan.

‘’Ini bersesuaian sekali dengan golongan muda dan golongan lain yang ada serta kumpulan pelbagai peringkat lain di DUN Tanjung Keramat ini secara amnya. Kawasan Tanjung Keramat yang berada berhampiran dengan kawasan bandar merupakan satu kelebihan kerana Tanjung Keramat khususnya dan Putatan itu sendiri bersebelahan dengan bandaraya Kota Kinabalu.

‘’Jadi ini bererti segala pertumbuhan ekonomi pembangunan di bandaraya Kota Kinabalu akan mendapat limpahan di Kawasan Putatan itu atau Tanjung Keramat itu sendiri. Sudah pasti ini merupakan kelebihan dan ditambah lagi bahawa Tanjung Keramat ini berada di kawasan persisiran pantai yang mana banyak potensi-potensi pelancongan dan juga ekonomi perikanan yang boleh kita kenalpasti nanti untuk dibangunkan,’’ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tambah Ir Shahelmey maklumbalas pengundi pelbagai peringkat terhadap BN bermula dari penamaan calon sehingga ke hari ini semakin bertambah dan sentimen ‘ubah balik’ begitu kuat sekali yang dapat dilihat daripada reaksi masyarakat yang mahukan sebuah kerajaan yang mempunyai hala tuju dan juga stabil.

‘’Jika kita imbas pada PRU (Pilihan Raya Umum) yang lalu orang muda khususnya telah dihasut dengan pelbagai janji manis. Begitu juga pengundi yang lain namun setelah 22 bulan memerintah mereka sedar segala janji manis itu adalah janji tidak realiti dan tidak mampu dicapai. Oleh itu mereka ingin menebus kembali pada PRN ini, insya-Allah.

‘’Kepada para pengundi saya berharap mereka keluar mengundi ramai-ramai pada 26 September ini  dan berilah mandat kepada BN dan pilihlah dengan bijak di samping itu sila pastikan SOP PKPP COVID-19, kita jaga kita, pilih dengan bijak dan kita ubah balik,’’ ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.