Pengundi Diseru Tolak Semua Calon Warisan

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim menyeru semua pengundi di Sabah menolak sama sekali calon Warisan di Sabah ekoran kenyataan melampau penimpin parti itu terhadap anggota keselamatan negara.

Ini tegasnya berikutan kenyataan calon Warisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Mohamaddin Ketapi, yang menyifatkan peristiwa di Tanduo itu sandiwara dan menganggap polis serta tentera berperang dengan ayam dan anjing di Lahad Datu.

“Jangan dihina pasukan keselamatan negara.

“Mereka adalah barisan depan negara yang sentiasa mempertaruhkan nyawa mereka demi keselamatan rakyat dan kedaulatan negara,” tegasnya lagi.

Justeru beliau mengajak semua pihak terutama pengundi tolak semua calon Warisan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tolak setiap agenda Warisan dalam kempen mereka dan tolak pembohongan yang dibawa oleh Warisan.

Paling utama katanya tolak Warisan kerana menghina pasukan keselamatan negara.

Menurut beliau lagi, tindakan calon Warisan ini yang merupakan bekas menteri Kabinet sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah sangat melampau.

“Bayangkan terguris hati isteri, anak perempuan mereka dan ahli keluarga pasukan keselamatan yang telah terkorban demi negara dan keselamatan.

“Ini langsung tidak boleh diterima dan Wanita UMNO menyeru semua pengundi di Sabah menolak sama sekali calon Warisan di Sabah,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.