Kenyataan Insiden Tanduo: Saya Cukup Kecewa Dan Ia Agak Keterlaluan – Yaakub Khan

SEPANGGAR, 22 Sept – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Senator Datuk Yaakub Khan melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Warisan berhubung  pengorbanan anggota keselamatan ketika pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 lalu.

Sambil menyifatkannya sebagai agak keterlaluan, Yaakob yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Sabah turut melihat ianya agak luar daripada sifat kemanusiaan seorang pemimpin.

‘’Apa yang dilontarkan oleh pemimpin parti Warisan yang mengatakan di Tanduo itu satu lakonan yang kononnya pihak ketenteraan untuk meraihkan sokongan dalam pilihan raya yang lepas cukup mengecewakan,’’ katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi kerajaan BN sebelum ini tidaklah sekejam itu atau sanggup melakukan perkara sedemikian rupa tanpa demi memenangi hati rakyat.

‘’Percayalah kerajaan BN tidak sekejam itu mengorbankan tentera kita hanya demi untuk memenangi hati rakyat. Takkanlah pemimpin BN pada ketika sampai hati menjadikan anak-anak mereka yang terkorban itu yatim piatu, menjadikan isteri mereka sebagai balu. Mohamaddin Ketapi agak keterlaluan dan agak luar daripada sifat kemanusiaan seorang pemimpin,’’ ujarnya.

Sejak semalam, satu klip rakaman video sepanjang dua minit 30 saat tular di media sosial dengan memaparkan pemimpin berkenaan berucap dengan berlatarbelakangkan bendera Warisan.

Beliau dipercayai berucap ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang sedang rancak berlangsung.

Calon Segama daripada Warisan Mohamaddin dilaporkan membuat dakwaan kononnya peristiwa itu adalah satu ‘sandiwara’ semasa berkempen pada pilihan raya negeri.

Tragedi berdarah itu berlaku apabila sekumpulan 100 pengganas Sulu dari Selatan Filipina mendarat di pantai Kampung Tanduo pada 12 Feb 2013. Seramai 10 anggota pasukan keselamatan dilaporkan terkorban dalam insiden itu. – UMNO online

Oleh: Azman Abas

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.