Hina Anggota Keselamatan Alasan Kukuh Pengundi Awal Tolak Warisan – Noraini

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, penghinaan terhadap warga keselamatan negara seharusnya menjadi alasan paling kukuh untuk para pengundi awal yang melibatkan 7,487 anggota tentera dan 9,390 anggota polis menolak parti Warisan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ujar beliau, walaupun Ahli Parlimen Lahad Datu Datuk Mohamaddin Ketapi telah memohon maaf tetapi hati ahli keluarga mereka yang terlibat dengan tragedi Tanduo, Lahad Datu, Sabah telah terluka malah lebih memeritkan, kenyataan maaf itu seperti tidak ikhlas apabila Mohamaddin cuba menegakkan benang basah.

“Hari ini seramai 16,877 orang akan mengundi awal di 55 pusat mengundi. Saya amat berharap rasa terluka dan terhina warga keselamatan ini akan diterjemahkan dalam undi mereka. Kita tidak boleh berkompromi dengan orang yang memandang hina kepada mereka yang menyabung nyawa demi keselamatan dan keharmonian negara.

“Anggota keselamatan adalah wira negara dan kerana itu jugalah setiap tahun kita meraikan Hari Pahlawan kerana jasa mereka amat kita hargai dan tidak ada galang ganti. Tapi sayangnya, pihak yang tidak bertanggungjawab telah memandang hina pengorbanan yang dilakukan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Noraini yang juga merupakan Menteri Pengajian Tinggi, bukan sahaja rasa kecewa itu harus diterjemahkan dalam undi awal tetapi ia harus diteruskan pada 26 Sept nanti.

“Rakyat Sabah harus memastikan pada 26 Sept, kita menolak parti Warisan yang gagal bukan sahaja dalam mentadbir kerajaan negeri dan membela nasib rakyat tetapi mereka juga gagal mempertahankan keselamatan dan maruah bumi Sabah.

“Kerana itulah mereka seakan membuka peluang untuk berunding apabila Filipina cuba menuntut bumi Sabah sedangkan kerajaan persekutuan tidak sama sekali membuka pintu rundingan kerana Sabah adalah hak Malaysia.

“Terdapat banyak sebab dan alasan untuk rakyat Sabah menolak kerajaan Warisan maka janganlah berfikir dua kali untuk membuang undi. Yakinlah, Barisan Nasional (BN) adalah yang terbaik dalam membela nasib rakyat tanpa sedikitpun membezakan agama dan kaum,” ujar Ahli Parlimen Parit Sulong itu lagi.

Untuk rekod, Mohamaddin telahpun memohon maaf secara terbuka kepada anggota keselamatan berhubung video mempersenda pasukan keselamatan yang tersebar.

Namun sayangnya, permintaan maaf itu seakan tidak ikhlas apabila Mohamaddin cuba menuding jari menyalahkan pihak lawan khususnya parti Semananjung yang dikatakan memutarbelitkan kenyataan beliau.

Dalam video yang tular tersebut secara terang calon Warisan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama itu mendakwa anggota keselamatan membawa kereta kebal masuk ke kampung untuk berperang dengan anjing dan ayam. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.