Adakah Shafie Percaya Maruah Anggota Keselamatan Boleh Dibeli Selepas Dihina? Soal Najib

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Razak membidas kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Afdal yang mengumumkan peruntukan bagi anggota keselamatan pada hari mengundi awal kerana ia berunsur rasuah pilihan raya.

Katanya, peruntukan yang akan diberikan kepada anggota keselamatan ini seolah-olah boleh dibeli selepas dihina oleh calon Warisan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi.

“Dan adakah dia percaya bahawa maruah anggota keselamatan boleh dibeli begitu sahaja selepas dihina parti dia?

“Shafie kata kenyataan Mohamaddin telah disalah erti orang awam. Jika orang awam yang salah erti, kenapa dia perlu mohon maaf?

“Anggota keselamatan bawa jet pejuang dan kereta kebal untuk serang ayam dan anjing. Pencerobohan Lahad Datu ini satu sandiwara.” Bahagian mana dalam kenyataan pemimpin Warisan di atas itu telah disalah erti rakyat?” lontar Najib dalam Facebooknya.

Tambah Perdana Menteri Keenam itu, sewajarnya apabila kerajaan negeri dibubarkan maka Shafie tiada kuasa untuk memberi sebarang peruntukan.

“Kerajaan Sabah sudah bubar. Dia cuma Ketua Menteri ‘caretaker’. Dia tak ada kuasa untuk beri peruntukan pada masa kini. Sebab itu, pengumuman dia tak beri apa-apa makna.

“Jika kenyataan dia merujuk kepada peruntukan yang sudahpun diberi masa dahulu, ianya juga tak bermakna berhubung penghinaan minggu ini,” tegasnya.

Untuk rekod, hari ini terdapat 16,877 anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing di 55 pusat mengundi di seluruh negeri di dalam proses pengundian awal, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.