Tragedi Lahad Datu: Warisan Sangat Biadap, Polis Dan Tentera Dibunuh Oleh Anjing Dan Ayam? – Zahida

KUALA LUMPUR, 21 Sept – “Warisan sudahlah gagal membela rakyat Sabah, kali ini menghina pula wira negara yang terkorban ketika pertahankan kedaulatan negeri Sabah dan kedaulatan negara dalam tragedi Lahad Datu pada Februari 2013,” selar Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Jelas beliau, kenyataan pemimpin Warisan sangat biadap dan langsung tidak boleh diterima sama sekali.

“Kita tanya pada Warisan, adakah 235 orang warga Filipina yang bersenjata mendarat di Kg. Tanduo pada 11 Februari 2013 adalah anjing dan ayam?

“Adakah sebilangan pengganas sulu yang mati bertempur dengan pasukan keselamatan kita adalah anjing dan ayam?

“Dan yang paling penting adakah seramai 10 anggota polis dan dua anggota tentera yang terkorban akibat dibunuh oleh anjing dan ayam?” soal Zahida dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya.

Zahida berkata demikian merujuk tularnya video bekas Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi yang juga pemimpin Warisan Sabah mengenai tragedi Kampung Tanduo, Lahad Datu.

“Kami mendesak agar pemimpin Warisan berkenaan memohon maaf kepada ahli keluarga wira negara yang terkorban mempertahankan negara ketika tragedi itu.

“Saya juga menyeru agar rakyat Sabah menolak secara total semua calon Warisan yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ini,” tegasnya lagi.– UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.