Tolak Mereka Yang Hina Anggota Keselamatan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi merasa kesal dengan kenyataan calon Warisan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mempersendakan tragedi Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 di dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Kenyataan calon Warisan ini menghina dan tidak menghormati pengorbanan anggota pasukan keselamatan dari seluruh negara yang menggadaikan nyawa mereka mempertahankan kedaulatan Sabah.

“Ia pasti menghiris perasaan seluruh anggota keselamatan terutama keluarga 10 anggota yang terkorban dalam peristiwa Kg. Tanduo, Lahad Datu pada 2013,” kesalnya dalam satu hantaran di Facebook.

Seterusnya, Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Pertahanan semasa era Barisan Nasional (BN) menafikan fitnah yang dimainkan oleh segelintir pihak.

“Sebagai Menteri Pertahanan ketika itu, saya menafikan tuduhan fitnah mengenai insiden pencerobohan Lahad Datu dan mengesahkan Ops Daulat adalah langkah terbaik kerajaan BN dalam menghadapi ancaman pengganas.

“Rakyat Sabah harus menolak calon-calon seperti ini,” tegasnya lagi.

Terdahulu, satu klip video yang tular di media sosial memaparkan ucapan Mohamaddin, yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu dalam satu majlis yang dipercayai membabitkan kempen Warisan di PRN Sabah yang berlangsung kini. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.